Gal Gadot gementar dengan The Rock

Aktres popular antarabangsa, Gal Gadot bakal muncul dalam filem terbaharu lakonanannya, Red Notice tidak lama lagi.

Filem itu akan menggandingkan Gal Gadot bersama dua lagi bintang terkemuka iaitu Dwayne Johnson dan Ryan Reynolds.

Berkongsi mengenai pengalaman dalam filem berkenaan, Gal Gadot akui gementar untuk bergandingan bersama Dwayne Johnson dalam satu babak tarian yang dilakonkan bersama.

“Sejujurnya, saya agak gementar pada permulaannya kerana Dwayne Johnson (DJ) bertubuh tegap, dia seperti ‘giant,, saya tak pasti apa yang akan jadi dengan babak tarian itu.

“Saya selalu memberitahu DJ yang kami perlu berlatih dan jalani proses rehearsal. DJ sangat ‘cool’ dan sentiasa menenangkan saya, katanya, saya tak perlu risau, semuanya akan baik-baik sahaja.

Gal Gadot akui gementar untuk bergan-dingan dengan Dwayne Johnson dalam satu babak tarian yang dilakonkan bersama. – Agensi

“Kemudian, saya baru tahu yang DJ rupanya sangat pandai menari, dia sangat berbakat dan saya sangat gembira menjalani penggambaran babak menari bersamanya,” katanya.

Gal Gadot berkata demikian dalam sesi virtual bersama media antarabangsa sempena mempromosikan filem Red Notice, Jumaat lalu.

Sementara itu, Dwayne Johnson juga memuji Gal Gadot yang tidak kekok menari bersamanya.

“Ianya terjadi kerana pasangan menari kita sendiri membantu Gal memang mengatur pergerakan, saya hanya cuba mengejar langkah dan menyesuaikan diri,” katanya yang duduk bersebelahan Gal Gadot dalam sesi sama.

Tambah Dwayne, dia juga berminat untuk membintangi Red Notice kerana pihak produksi turut menampilkan Gal Gadot yang sudah lama menjadi aktres kegemarannya.

“Apabila Rawson Marshall (pengarah dan penulis) sebut nama Gal Gadot, saya terus cakap yang saya suka dia, dia adalah salah seorang yang saya minati.

“Gal sangat menakjubkan, tambahan dia membawa watak pencuri karya seni yang paling dikehendaki di dunia dalam filem ini, ia menambahkan lagi minat saya sebagai pencinta filem,” katanya.

Red Notice yang turut dibintangi oleh Ryan Reynolds, Rita Arya dan Chris Diamantopoulos mengisahkan tentang Polis Antarabangsa (Interpol) yang mengeluarkan notis merah, iaitu waran tangkap tertinggi untuk mencari pesalah yang paling dikehendaki di dunia.

Setiap kali notis tersebut dikeluarkan, agen FBI terkemuka John Hartley (Dwayne Johnson) akan menggalas tanggungjawab untuk menyelesaikannya.

Dalam usaha menangkap pencuri karya seni yang paling dikehendaki iaitu The Bishop (Gal Gadot), John terpaksa bekerjasama dengan seorang pencuri karya seni yang hebat, Nolan Booth (Ryan Reynolds). – Agensi