Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Gala Aspirasi Seni martabat Bahasa Melayu

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Dalam usaha memperkasakan Bahasa Melayu melalui medium seni sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Bahagian Sastera dan Majalah hari ini menganjurkan Gala Aspirasi Seni (GAS) 2022, bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas.

    Acara itu dianjurkan sebagai salah satu kegiatan utama di bawah Festival Sastera dan Seni Budaya Melayu Brunei, sempena Sambutan Bulan Bahasa 2022.

    Antara objektif acara itu adalah untuk mengangkat dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara melalui karya dan pementasan seni sastera dan mempromosi bahan terbitan jabatan melalui terjemahan persembahan pementasan.

    Hadir pada majlis pembukaan selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Menurut Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, GAS yang diungkayahkan selama tiga hari bermula hari ini merupakan antara usaha strategik jabatan ini apabila berjaya menghimpunkan dan menyatukan persatuan penulis serta penggiat seni tanah air untuk terlibat sama berperanan besar dalam mendaya upayakan pemartabatan dan pemasyarakatan penggunaan Bahasa Melayu di negara ini.

    Dr Siti Norkhalbi bersama Awang Suip semasa meninjau petak pameran.
    Antara yang hadir pada majlis tersebut.

    “Dengan mengangkat tema ‘Tradisi, Inovasi, Kreativiti’, Gala Aspirasi Seni pada tahun ini mengetengahkan pelbagai kegiatan kesusasteraan yang terangkum dalam enam kategori utama, iaitu sesi kongsi ilmu, bengkel, pertandingan, peraduan, persembahan dan pameran.

    “Antara kegiatan yang dilaksanakan ialah Bengkel Penulisan Fiksi Mini, Pertandingan Baca Puisi Multimedia dan beberapa seni pementasan yang akan dipersembahkan oleh persatuan penulis serta penggiat seni tanah air,” kata Awang Suip.

    Beliau juga berkata keberhasilan mengadakan GAS ini tidak lepas daripada penerapan pendekatan senegara yang menggabungkan kerjasama sepadu daripada rakan-rakan strategik jabatan.

    “Alhamdulillah, sambutan penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, universiti, sekolah, persatuan, kelab dan orang perseorangan selaku rakan strategik DBP adalah amat menggalakkan, yang menyaksikan 22 penyertaan.

    Daripada penyertaan tersebut, 10 peserta menyertai pameran seni dan 17 peserta yang berpotensi tinggi dan cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing menyertai kegiatan pentas,” katanya.

    Kegiatan pentas diserikan dengan bentuk sesi kongsi ilmu dan persembahan, yang mengetengahkan kegiatan-kegiatan seperti Patuturan Kitani Folklor: Dulce et Utile, Mengenali Dundang, Melestari Budaya Pantun Melalui Bermukun dan tayangan video legenda dan cerita rakyat daripada Radio Televisyen Brunei.

    Sementara itu, persembahan pentas disertai 14 peserta dengan variasi bentuk seni sastera tradisional dan moden, termasuk teater sejarah, cerita rakyat dan isu semasa, nyanyian puisi, tarian, silat dan deklamasi sajak.

    Di samping itu, peringkat saringan Pertandingan Baca Puisi Multimedia juga telah diadakan pada 31 Ogos yang lalu, dan lima peserta finalis akan berentap di peringkat akhir yang diselajurkan dalam Majlis Penutupan GAS 2022 pada 8 September ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...