Galak belia amal bacaan Al-Quran

SOUTHAMPTON, UNITED KINGDOM, 27 NOV – Persatuan Pelajar Brunei Southampton (BruSton) telah mengadakan acara tahunan pertamanya iaitu Pertandingan Hafalan Al-Quran di University of Southampton, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam bagi United Kingdom dan Northern Ireland, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Rooslina Weti binti Pengiran Haji Kamaluddin.

Menurut kenyataan yang diterima di sini, pertandingan yang disertai oleh 10 orang pelajar itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Di Pertua Persatuan Pelajar Brunei Southampton, Awang Muhammad Zaeem bin Haji Abdul Majid dan tetamu kehormat yang antara lain menekankan betapa pentingnya pengamalan kitab suci Al-Quran, terutamanya dalam kalangan belia.

Acara tersebut kemudiannya diikuti dengan bacaan Surah Al-Ankabut Ayat 47 hingga 49 oleh Awang Muhammad Zaeem dan terjemahannya yang dibacakan oleh Awang Ahmad Darwisy ar-Rayyan bin Hamdan.

Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A dan B, di mana bagi Kategori A dimenangi oleh Muhammad Fikri bin Haji Ali dari BruSton dan Dayang Amiratul Iffah binti Mohd Idres dari Persatuan Pelajar Brunei Bath, manakala pemenang bagi Kategori B ialah Awang Ahmad Zakwan bin Haji Mohd Salleh dari Persatuan Pelajar Brunei Imperial College dan Dayang ‘Afifah binti Haji Mat Dani dari Persatuan Pelajar Brunei Bath. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh yang di-pertua BruSton dan tetamu kehormat kepada pemenang dan peserta pertandingan.

Awang Muhammad Zaeem ketika memberikan tanda penghargaan kepada PYT Pengiran Hajah Rooslina Weti.
Tetamu kehormat ketika bergambar ramai bersama para para juri dan juga ahli persatuan penuntut-penuntut Brunei di United Kingdom dan Eire.