Galak belia cintakan masjid

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Dalam usaha untuk menangani isu gejala sosial dalam kalangan belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah telah mengadakan Program Qiamulail bagi belia masjid di Daerah Brunei dan Muara.

Program tersebut berlangsung selama dua hari di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan disertai seramai 50 orang belia masjid dari daerah ini.

Ini merupakan kali kedua program berkenaan diadakan, yang mana pertama kali diadakan di Daerah Tutong minggu lalu dan akan dilaratkan lagi ke daerah lain.

Antara tujuan program adalah untuk menggalakkan belia mendekati masjid dan membiasakan mereka bersilaturahim dengan jemaah dan ahli-ahli jawatankuasa takmir.

Melalui program berkenaan, para peserta dilatih membantu pentadbiran hal ehwal masjid selain itu mengikuti aktiviti-aktiviti masjid sekali gus mendidik belia agar tidak mudah dipengaruhi gejala sosial.

Seramai 50 orang belia masjid Daerah Brunei dan Muara telah mengikuti Program Qiamulail yang dianjurkan. – Gambar serahan Jabatan Hal Ehwal Masjid

Antara pengisian program tersebut ialah membaca Surah Yasin dan Tahlil serta ceramah motivasi bertajuk ‘Belia Sihat dan Penyayang Tanpa Gejala Sosial’ yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awangku Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

Pada hari ini, para peserta sama-sama menunaikan sembahyang Fardu Subuh berjemaah dan seterusnya membaca Surah Al-Waqiah.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Idarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Asminan bin Haji Chuchu.

Program diteruskan lagi dengan kempen kebersihan di dalam dan luar masjid berkenaan.

Dengan adanya program seumpama ini diharap ia akan dapat mengimarahkan masjid sekali gus menjadi pengajaran dan kesedaran kepada belia bagi menghindari aktiviti yang tidak berfaedah.