Galak belia dampingi Al-Quran

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Seramai 352 peserta telah menyertai Musabaqah Menghafaz Al-Quran Peringkat Akhir Kebangsaan peringkat saringan dan peringkat separuh akhir berbanding pada tahun lepas yang mencatatkan penyertaan sebanyak 262 penyertaan.

“Peningkatan yang ketara ini adalah sangat disyukuri dan ia menandakan semakin meluasnya kitab suci Al-Quran itu dihafaz di negara kita yang mana majoriti penghafalnya adalah terdiri daripada kalangan generasi baharu.”

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara ketika berucap dalam Rancangan Khas Sempena Memperingati Nuzul Al-Quran tahun ini yang disiarkan melalui radio dan televisyen Brunei, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, para peserta ini telah mendapat galakan daripada ibu bapa masing-masing, di samping dorongan daripada guru-guru mereka di sekolah agama.

“Di samping itu kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi pengajian di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Skim Galakan kepada al-huffaz yang berkelayakan,” tambahnya.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika berucap semasa Rancangan Khas Sempena Memperingati Nuzul Al-Quran tahun ini yang disiarkan melalui radio dan televisyen Brunei. – Gambar oleh Azlan Othman

Katanya lagi, “Pertandingan menghafaz Al-Quran ini adalah suntingan rakaman pertandingan peringkat akhir daripada 15 orang pemenang bagi lima kategori.”

Beliau seterusnya menjelaskan, bulan Ramadan adalah bulan yang diberkati Allah dan membawakan keberkatan kepada semua umat Islam, di mana semua umat Islam diseru untuk memperbanyakkan pembacaan Al-Quran serta meningkatkan segala amal ibadat di bulan ini, di mana pada bulan ini berlaku satu peristiwa istimewa iaitu turunkan Al-Quran.

Perisian sambutan Nuzul Al-Quran tahun ini yang disiarkan secara rakaman ini turut diserikan dengan ceramah perdana oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

“Dalam usaha menyebarkan kefahaman makna ayat-ayat Al-Quran ini, tidak dilupakan juga ialah aktiviti dan inisiatif kalangan ilmuan agama melalui halaqah at-tadabbur dan ceramah-ceramah tafsir yang mereka pimpin di masjid-masjid dan di institusi pengajian tinggi.

“Ini termasuk rancangan yang disiarkan melalui radio dan televisyen serta media sosial dan tidak syak lagi kesemua ini akan mendatangkan keberkatan kepada negara dalam berbagai rupa bentuk limpah kurnia Allah SWT.

“Inilah sebahagian tanda-tanda nyata kepimpinan bijaksana dan berkesan raja berdaulat, memimpin rakyat menaungi nusa adil bahagia,” tambahnya.

Katanya lagi, “Beberapa wawasan keagamaan Baginda telah mengukuhkan Islam agama rasmi negara dengan syiarnya yang semakin menyerlah dan ini terbukti, betapa Islam agama rasmi negara adalah pemangkin utama keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara dan rakyat serta penduduk sekaliannya.”

Rancangan khas ini juga memuatkan pengumuman keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi yang dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1441 Hijrah/2020 Masihi, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.

Di akhir rancangan khas ini, bacaan doa bagi memohon perlindungan Allah SWT daripada wabak dan bala dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.