Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Feb – Kumpulan Mukhlisun berjaya mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Secara Muratal anjuran Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (PSBSOAS), Kampung Katimahar, hari ini.
Pertandingan tersebut disertai lima buah kumpulan yang terdiri daripada jemaah Masjid PSBSOAS yang mengikuti pengajian Al-Quran selepas solat Fardu Subuh.
Pada majlis itu, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Suhaimi bin Haji Mohd Noor hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan pertandingan tersebut.
Pertandingan anjuran Masjid PSBSOAS itu antara lain bertujuan untuk memberi galakan kepada para peserta untuk terus mengikuti pembelajaran Al-Quran di samping memberi peluang kepada jemaah untuk berani tampil di khalayak ramai dan sebagai tanda penjalinan ukhuwah dan ikatan silaturahim dalam kalangan jemaah.

