Galak kanak-kanak ke perpustakaan cuti ini

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 30 NOV – Dengan cuti penggal persekolahan ketiga telah bermula, perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) giat menjalankan pelbagai aktiviti menarik bagi mengisi masa lapang pelajar dengan kegiatan yang berfaedah sekali gus menggalakkan penduduk sekitar mengunjungi perpustakaan.

Sementara itu, Perpustakaan DBP Kuala Belait menganjurkan Program Cuti Sekolah yang telah bermula pagi kelmarin di mana antara aktiviti yang diadakan adalah Reading Circle.

Aktiviti berkenaan menggalakkan kanak-kanak dari kawasan sekitar Kuala Belait untuk mengunjungi perpustakaan, bukan sahaja untuk menggunakan kemudahan yang disediakan malah berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya.

Pembantu Perpustakaan Gred 1, Awang bin Khalid ketika ditemui menjelaskan, program berkenaan merupakan peluang bagi ibu bapa dan penjaga menggalakkan anak-anak mereka terus membaca sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggalakkan pembacaan di luar sekolah. Aktiviti itu, tambah beliau, juga bertujuan untuk menggalakkan interaksi dalam kalangan kanak-kanak.

Sementara itu, baru-baru ini, Perpustakaan DBP Kampung Pandan juga telah mengadakan beberapa siri aktiviti termasuk gerai jualan, pertandingan melukis untuk kanak-kanak serta peraduan mewarna untuk ibu bapa bersama-sama anak mereka.

Pemangku Penolong Perpustakaan, Dayang Zaiton binti Haji Nappy berkata, acara perpustakaan merupakan aktiviti penting untuk penduduk di kawasan berkenaan kerana ia bukan sahaja menggalakan mereka melawat perpustakaan tetapi juga meluangkan masa berkualiti bersama sebagai sebuah keluarga di samping mempamerkan kemahiran dan bakat dalam aktiviti yang diadakan.

Antara kanak-kanak yang menyertai aktiviti Reading Circle di Perpustakaan DBP Kuala Belait.
Remaja kelihatan fokus mewarna lukisan yang dihasilkan semasa aktiviti di Perpustakaan DBP Kampung Pandan.