Galak pelajar celik Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Nov – Al-Quran merupakan mukjizat agung yang telah dikurniakan Allah kepada Rasul kesayanganNya, Nabi Muhammad SAW, dengan itu mempelajari Al-Quran atau membacanya amat digalakkan di Negara Brunei Darussalam, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Sehubungan itu, Sekolah Rendah Mata-Mata Gadong, Kluster I, hari ini, telah melancarkan Al-Quran Tulis bagi menggalakkan kanak-kanak membaca Al-Quran.

Hadir selaku tetamu pada majlis berkenaan ialah Naib Yang Dipertua Sepanjang Hayat, Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam (PPPNBD), Datin Paduka Hajah Zahrah binti Haji Idris.

Pemangku Guru Besar Sekolah Rendah Mata-Mata, Dayang Norlipah binti Haji Kalong berkata, adalah penting sebagai pendidik untuk mengajarkan Al-Quran kepada anak-anak yang merupakan generasi dan bakal pemimpin pada masa akan datang.

“Kerana itu amatlah penting untuk kita menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka agar apabila mereka dewasa kelak, mereka tidak akan tersasar daripada landasan yang betul,” tekannya.

Datin Paduka Hajah Zahrah ketika meninjau para pelajar menulis ayat-ayat Al-Quran semasa majlis pelancaran tersebut.

Dengan adanya pelancaran Al-Quran Tulis ini, tambah beliau, ia akan dapat menggalakkan anak-anak dan diri sendiri untuk mencintai dan membaca Al-Quran.

“Dengan menulis ayat Al-Quran itu sendiri sambil membaca, naluri cinta kepada ayat-ayat Allah itu lahir sendirinya dari hati naluri kita, bahkan kecintaan itu semakin bertambah dan menebal,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, majlis berkenaan bukan sekadar untuk melancarkan penulisan ayat-ayat Al-Quran dan menyaksikan anak-anak menulis Al-Quran, tetapi apa yang lebih penting adalah mesej yang hendak di-sampaikan dan pengertiannya kepada diri sendiri.

Penghayatan kepada isi Al-Quran juga akan memberi inspirasi dan galakkan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan.

Majlis pelancaran juga diisikan dengan beberapa persembahan nasyid, persembahan bacaan Al-Quran, persembahan dikir dan penyampaian Al-Quran Tulis kepada wakil-wakil daripada mantan guru-guru Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, PPPNBD, Jabatan Pengajian Islam, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Muslimah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, ketua Muslimah Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, pengerusi Kumpulan Meraih Barkah dan penyampaian Al-Quran Tulis Galakkan kepada Dayang Dalili Fasihah binti Haji Ayop.

Penyampaian telah disempurnakan oleh tetamu kehormat yang turut dibawa menyaksikan murid-murid menggunakan Al-Quran Tulis daripada Naskah Juzuk Amma dan sedikit sebanyak memberi semangat kepada para pelajar untuk belajar lebih tekun tentang Al-Quran.