BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Sekolah Perdagangan Universiti Teknologi Brunei (UTB-SB), baru-baru ini, telah menganjurkan Kolokium Siswazah UTB kedua 2019 yang berlangsung di Lecture Theatre 2, Kompleks Perpustakaan UTB.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UTB, kolokium berkenaan bermatlamat untuk menggalakkan pelajar-pelajar ijazah untuk melangkaui batasan pengetahuan, membentuk kolaborasi penyelidikan baharu dan rangkaian bersama rakan-rakan seangkatan dan cendekiawan daripada bidang pengajian mereka.
Ia juga bertindak sebagai platform bagi para siswazah untuk berinteraksi bersama rakan-rakan serta panel penyelidik yang berpengalaman bagi menggalakkan penyertaan dan menjana idea-idea penyelidikan bagi penyelidikan yang bermakna.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara sehari itu ialah Pemangku Naib Canselor UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib.
Dalam ucapan alu-aluannya, tetamu kehormat antara lain menekankan mengenai Revolusi Industri 4.0, bagaimana teknologi-teknologi mengubah landskap pekerjaan dan industri di mana Pendidikan 4.0 adalah respons kepada komuniti pendidikan, terutamanya universiti-universiti, kepada transformasi yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0.
Beliau juga menambah bahawa ‘kolaborasi’ adalah kata kunci dalam era Pendidikan 4.0 ini yang mana ia membayangkan bahawa penyelidikan akademik adalah ‘jaringan pelajar, fakulti, penyelidik-penyelidik bebas dan industri yang saling berhubung yang sangat besar’ menghimpunkan pengetahuan-pengetahuan dan kepakaran, data sumber terbuka, pembiayaan, kuasa pengkomputeran, teknologi-teknologi dan sumber-sumber lain ke arah mencapai kecemerlangan penyelidikan.
Acara diikuti dengan taklimat oleh Profesor Madya Dr Larry Su dari UTB-SB yang menumpukan terhadap Panduan kepada Memulakan Penyelidikan Baik diikuti dengan pembentangan oleh 16 pelajar siswazah.
Pelajar-pelajar juga mempamerkan hasil kerja mereka dalam bentuk poster pada pame-ran mini yang diadakan di luar tempat acara.
Pada sebelah petang, Penolong Naib Canselor (Penyelidikan), Profesor Zuruzi bin Abu Samah menutup kolokium dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Para pemenang bagi pembentangan oral ialah Dayang Hartini binti Haji Mashod, pelajar Doktor Falsafah dalam Pengurusan dan Dayang Norzahidah Buhasri yang merupakan pelajar Sarjana Penyelidikan dalam Pengurusan kedua-duanya juga merupakan pemenang pembentangan poster.