Oleh Daniel Lim
BELAIT, 6 FEB – Sebagai sebahagian daripada aktiviti dua kali setahun untuk membantu menambah simpanan darah bagi mereka yang memerlukannya, Sekolah Sains dan Kejuruteraan (SSE), Politeknik Brunei (PB), Kampus Lumut telah mengadakan kempen menderma darah, hari ini.
Lebih 51 orang telah menghadiri dan mendaftar untuk menderma darah pada kempen yang dikendalikan oleh pegawai dan kakitangan Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan, bagaimanapun kira-kira 40 orang sahaja yang layak menderma darah.
Diadakan di dewan serba guna kampus berkenaan, kempen merupakan aktiviti yang diadakan setiap semester, bukan sahaja untuk menambah bekalan darah malah membantu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah serta manfaat kesihatan daripadanya.
Di samping itu, kempen juga bertujuan untuk menggalakkan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dalam kalangan kakitangan dan pelajar PB dengan menderma darah.
PB berharap, menerusi acara berkenaan, lebih ramai pelajar dan guru sekolah berkenaan akan mengamalkan pendermaan darah sebagai amalan sepanjang hayat.





























