Galak penyusuan anak damit dengan betul

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Dalam menyokong amalan penyusuan susu ibu yang optimum seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 12 kain penutup penyusuan anak damit telah diserahkan kepada ibu-ibu hamil yang menghadiri Kelas Kelahiran Anak di Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), baru-baru ini.

Kain penutup yang didermakan oleh hamba Allah itu telah disampaikan oleh Penasihat Pertubuhan Perkumpulan Wanita Brunei Darussalam (WI), Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali.

Dalam ucapan ringkasnya, Datin Hajah Masni menyatakan bahawa inisiatif tersebut diadakan oleh kumpulan Kelas Kelahiran Anak, Pegawai Kejururawatan Hospital RIPAS, Hajah Halimah binti Mohd Tahir dan WI dalam menyokong penjagaan kesihatan anak damit melalui penyusuan susu ibu.

Kesihatan adalah tanggungjawab semua orang, oleh itu beliau menegaskan keperluan sektor swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama bagi melindungi, mempromosikan dan menyokong amalan penyusuan oleh ibu untuk kepentingan semua orang.

WI sebagai salah sebuah NGO tertua di negara ini yang telah lama mempromosikan penjagaan kesihatan kanak-kanak menerusi ‘Baby Show’ pada tahun 70an hingga 90an yang memberi tumpuan kepada menyokong dan menggalakkan penyusuan susu ibu, tambah Datin Hajah Masni.

Ujarnya, kepentingan penyusuan yang lengkap dan sehingga dua tahun memenuhi apa yang dinyatakan dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah, Ayat 233 yang menekankan tentang penyusuan sehingga usia kanak-kanak dua tahun bagi mempererat hubungan ibu dan anak.

Beliau menambah bahawa penyusuan susu ibu adalah pelaburan yang bijak dan kos efektif memandangkan ia memberi impak kepada pertumbuhan dan perkembangan otak bayi dan titikan pertama susu ibu yang dipanggil kolostrum adalah imunisasi pertama untuk anak damit kerana ia kaya dengan antibodi serta sebagai Vitamin A dan E, yang boleh menghalang jangkitan dan alergi, cirit-birit dan merangsang tahap IQ kanak-kanak.

Para peserta Kelas Kelahiran Anak ketika sesi bergambar ramai.