Galak perdagangan global inklusif bawah eWTP

LIEGE, Belgium, 6 Dis – Kerajaan Persekutuan Belgium (Kerajaan Belgium) dan Alibaba Group Holding Limited (NYSE: BABA; Kumpulan Alibaba) hari ini mengumumkan bahawa mereka telah bersetuju untuk menggalakkan perdagangan inklusif di bawah inisiatif Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP).

Kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat untuk membina bersama sebuah platform perdagangan yang lebih inklusif dan berinovatif yang akan memudahkan akses yang lebih besar dan lebih adil kepada peluang-peluang perdagangan merentas sempadan, khususnya bagi perusahaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS).

Memorandum Persefahaman (MoU) untuk eWTP telah ditandatangani hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pekerjaan, Ekonomi dan Hal Ehwal Pengguna Belgium Kris Peeters dan Pengarah Kanan bagi Kumpulan Alibaba James Song. Ia disaksikan oleh Perdana Menteri Belgium Charles Michel dan Presiden Kumpulan Alibaba bagi Perniagaan Global Angel Zhao.

Perdana Menteri Charles Michel berkata, “Saya amat teruja untuk mengalu-alukan eWTP ke Belgium dan komitmen Alibaba bagi meningkatkan daya saing syarikat-syarikat Belgium dan Eropah di pentas dunia di dalam perkongsian ini.

“Ini akan merupakan satu peluang besar untuk meningkatkan eksport dan membawa manfaat ekonomi yang luas kepada masyarakat, termasuk peluang-peluang pekerjaan kepada Liege. Penyertaan di dalam eWTP menekankan visi negara kami untuk membantu syarikat-syarikat tempatan yang bersaiz kecil dan sederhana untuk menjadi lebih berdaya saing di tempat pasaran global dalam era digital itu. Ini adalah satu peluang bukan hanya bagi perniagaan kecil dan golongan muda di Belgium tetapi merentasi Eropah.”

Perkongsian dengan Kerajaan Belgium itu akan menjadi usaha awal Alibaba untuk menggalakkan perdagangan global yang inklusif di Eropah, dengan membangunkan di atas kejayaan perkongsian eWTP yang sama di Asia dan Afrika dalam tempoh dua tahun yang lalu.

“Saya gembira kerana Kerajaan Belgium yakin terhadap visi eWTP dan berkongsi komitmen kami. Dengan lebih daripada 98 peratus syarikat-syarikat Eropah merupakan perniagaan kecil dan sederhana, perkongsian ini menandakan usaha awal dan diperluaskan kami untuk meningkatkan peluang-peluang perdagangan inklusif bagi perniagaan ini di Belgium dan di seluruh Eropah.

“Kami sangat percaya bahawa di bawah eWTP, kami akan membuka peluang yang besar bagi perniagaan Eropah untuk meraih faedah daripada perdagangan merentas sempadan global, terutamanya ke dalam pasaran China di mana permintaan terhadap barangan Eropah adalah tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alibaba Daniel Zhang. – Bernama

Charles Michel (tiga kiri) bergambar ramai semasa majlis penandatanganan di Liege, Belgium kelmarin. – Xinhua