Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Bulan suci Ramadan mengajar umat Islam untuk mewujudkan perpaduan yang lebih erat dengan umat Islam lainnya, lebih-lebih lagi dengan warganegara lain.
Sehubungan dengan itu, Kedutaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam mengadakan majlis berbuka puasa di Indera Kayangan Ballroom, Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Juga hadir ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Hadir mengalu-alukan para jemputan ialah Duta Besar Arab Saudi ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdul Aziz bin Saad Al-Muhanna.
Majlis dimulakan dengan berbuka puasa diikuti dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.
Majlis berbuka puasa itu merupakan satu peluang untuk pihak kedutaan berinteraksi dengan rakyat beragama Islam di Negara Brunei Darussalam serta membincangkan isu-isu keislaman, kebudayaan, sosial dan lain-lain.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, anggota diplomatik yang beragama Islam dan tetamu undangan.