Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Galak proses pengantaraan selesaikan pertikaian

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Proses pengantaraan bukanlah konsep baharu, ia pernah digunakan oleh penghulu-penghulu, ketua kampung, imam dan juga ketua-ketua keluarga bagi menyelesaikan pertikaian.

    Pengantaraan telah berkembang maju kepada satu proses yang diguna pakai oleh mahkamah atau badan-badan bagi menyelesaikan pertikaian.

    Perkara berkenaan ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa menyampaikan ucapan perasmian program latihan Pengurusan Konflik Strategik bagi Profesional: Menguruskan Konflik-konflik dan Menyelesaikan Pertikaian Menerusi Pengantaraan Bertauliah 2022 di Dewan Serbaguna At-Taqwa, Tingkat 12, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menambah, dengan mengambil kira hanya sebahagian pertikaian yang dihadapkan ke mahkamah, ia tidak mencerminkan jumlah dan kepelbagaian pertikaian yang sebenarnya.

    Ini bermakna potensi pengantaraan sebagai satu mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif adalah semakin jelas dan terdapat keperluannya untuk memahami serta menggalakkan proses tersebut di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Berhormat Peguam Negara bergambar ramai pada majlis perasmian program anjuran BDAC bersama SMC. – Gambar serahan BDAC
    Antara peserta yang mengikuti program latihan berkenaan.

    Beliau turut menyarankan, supaya kursus berkenaan akan terus menyumbang ke arah peningkatan access to justice, melalui penambahan bilangan pengantara yang diiktiraf bagi menjalankan perkhidmatan pengantaraan selaras dengan Pelan Strategik JPM 2021-2025.

    “Dengan menggalakkan pihak-pihak yang bertikai untuk memanfaatkan kemudahan-kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan oleh Brunei Darussalam Arbitration Centre (BDAC) ia dapat memastikan proses penyelesaian pertikaian dikendalikan secara berkesan dan berhemat,” jelasnya.

    Program latihan berkenaan disertai oleh 24 orang peserta dari sektor kerajaan, swasta dan orang persendirian, yang akan mengikuti kursus tentang konflik serta pertikaian dan teknik yang berkesan untuk menyelesaikannya.

    Kursus penyelesaian pertikaian berkenaan akan dapat meningkatkan kebolehan para peserta dalam pelbagai situasi bagi penyelesaian pertikaian sama ada di dalam atau di luar organisasi.

    Peserta-peserta akan menduduki penilaian bagi menjadi pengantara yang diiktiraf.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; Timbalan Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, pemangku ketua hakim Mahkamah Besar, timbalan-timbalan setiausaha tetap, tetamu-tetamu khas serta penceramah-penceramah dari Singapore Mediation Centre (SMC).

    Kursus tersebut adalah yang pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh BDAC
    bersama SMC dan bertujuan untuk mencapai salah satu inisiatifnya dalam meningkatkan dan mengukuhkan panel pengantara supaya pusat berkenaan akan menjadi tempat pilihan utama bagi menyelesaikan pertikaian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...