BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Bagi menggalakkan kakitangannya mengamalkan gaya hidup sihat, Kementerian Pendidikan hari ini mengadakan acara ‘Berbasikal untuk Kesihatan’ sejauh 12.5 km sempena Program Bandarku Ceria di ibu negara.
Hadir sebagai tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, para pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.
Acara yang dianjurkan oleh Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Unit Perhubungan Awam itu juga diadakan untuk memeriahkan lagi Program Bandarku Ceria.

Acara pagi tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awangku Mohd Saifullah bin Pengiran Haji Ahmad dari Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan.
Para peserta acara ‘Berbasikal untuk Kesihatan’ telah dilepaskan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi di mana para peserta menuju ke Jabatan Perdana Menteri dan kembali semula ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.