Galakan pelajar terus cemerlang

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Sekolah Seri Mulia Sarjana telah meraikan pencapaian pelajar Penilaian Sekolah Rendah (PSR), IGCSE dan GCE ‘O’ Level 2019 dalam majlis penyampaian anugerah hari ini di Dewan Al-Barakah, Tingkat 7, Hotel Parkview.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim.

Seramai 88 pelajar telah diraikan, 56 daripadanya adalah pelajar peringkat rendah manakala 32 orang lagi menengah.

Pengetua Sekolah Seri Mulia Sarjana, Dayang Gazala binti Abdullah dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan bahawa para pelajar Sekolah Seri Mulia Sarjana telah membuktikan kecemerlangan akademik mereka dalam peperiksaan PSR, IGCSE dan GCE ‘O Level untuk tahun 2019.

“Dalam PSR, persembahan keseluruhan kami dalam pelbagai mata pelajaran melebihi 90 peratus, Bahasa Melayu (92 peratus); Bahasa Inggeris (97 peratus); MIB (99 peratus) dan Sains (98 peratus).

Hajah Suriani menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar.
Antara para pelajar yang hadir pada majlis penyampaian anugerah di Dewan Al-Barakah, Hotel Parkview.

“Pada masa yang sama, sekolah dengan bangga mengakui bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam peperiksaan BGCE ‘O’ dan IGCSE tahun lepas telah meningkat. Bagi pelajar yang mencapai kredit 5 dan ke atas adalah 65.32 peratus, meningkat sebanyak 8.13 peratus, manakala untuk kredit 4 dan ke atas ia adalah 75.2 peratus, meningkat sebanyak 8 peratus.”

Beliau juga menyatakan kadar kelulusan 100 peratus masing-masing bagi Matematik ‘D’, Prinsip Akaun (P.O.A) dan Perdagangan (Commerce) dan beberapa pelajar yang mendapat markah A dan A* di pelbagai mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan yang luar biasa.

Menurut beliau, majlis penyampaian anugerah akademik tersebut mengiktiraf pencapaian pelajar-pelajar mereka dan berfungsi untuk menggalakkan para pelajar untuk terus cemerlang.

“Matlamat utama pendidikan adalah menyumbangkan yang terbaik dalam setiap pelajar dan ini adalah objektif yang abadi,” tekan Dayang Gazala.

Bagi memeriahkan suasana sambutan, persembahan Tausyeh telah diadakan bagi memulakan acara dan juga persembahan medley tarian cina, Plum Blossom dan tarian Mongolia. Acara kemuncak sambutan tersebut ialah penganugerahan piala dan sijil kepada pelajar-pelajar yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.