Tuesday, April 29, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galas tanggungjawab Wawasan Brunei 2035 bersama

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035, ia bukanlah tanggungjawab tunggal kerajaan sahaja atau sesebuah kementerian atau jabatan tetapi ia merupakan tanggungjawab bersama semua rakyat dan penduduk Brunei.

    “Semua rakyat mempunyai peranan masing-masing untuk mencapai Wawasan 2035 dan perlu melengkapkan diri sendiri dengan maklumat,” tekan Pemangku Timbalan Pengarah Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, Jabatan Perdana Menteri, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Abu Hurairah dalam kata alu-aluannya semasa Majlis Pemberigaan Wawasan 2035 bagi Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung Daerah Brunei Muara Zon 2, 4 dan 5 (sesi kedua).

    “Di sinilah kepentingan peranan para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung sebagai pemimpin akar umbi untuk membantu menyebarkan keperluan ini kepada masyarakat,” tambahnya lagi pada majlis yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Baru Jabatan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

    Beliau turut mengimbas kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 di mana Baginda bertitah akan kepentingan untuk tidak membiarkan wawasan negara sebagai retorik intelektual semata-mata, yang cuma indah dalam sebutan.

    “Baginda seterusnya juga bertitah akan keperluan bagi melaksanakan segala tindakan dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh dengan bertindak lebih tangkas bagi menghasilkan impak yang tinggi yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.”

    Dr Hajah Huraini ketika berucap pada majlis tersebut.

    Menyentuh mengenai sesi taklimat itu, Dr. Hajah Huraini berkata, ia adalah salah satu daripada usaha yang telah dimandatkan oleh Majlis Tertinggi Wawasan Brunei dalam memastikan Wawasan Brunei 2035 diberigakan kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Beliau berkata bahawa program pemberigaan itu telah bermula pada 2016 dan pelbagai kegiatan dengan pelbagai kumpulan dan pihak yang berkepentingan telah dijalankan di mana sesi pada hari ini adalah sesi terakhir bagi fasa pertama dengan penghulu dan ketua kampung.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian taklimat Wawasan Brunei 2035 oleh Pegawai Ekonomi Kanan dari Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, Dayang Nur Edzalina binti Haji Idris.

    Majlis itu dihadiri oleh seramai 52 orang penghulu mukim dan ketua kampung dari Daerah Brunei dan Muara bagi Zon 2, 4 dan 5. Turut hadir semasa sesi pemberigaan berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Penghulu Mukim Gadong ‘A’, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin; Ketua Kampung Limau Manis, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Johari @ Jahari dan Penghulu Mukim Kota Batu, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Khamis.

    Taklimat itu bermatlamat untuk memberikan penerangan mengenai Wawasan Brunei 2035 kepada penghulu mukim dan ketua kampung bagi menyebarkan maklumat mengenainya dan mengetengahkan peranan mereka dalam menyokong usaha ke arah wawasan tersebut.

    Ini memandangkan mereka mempunyai peranan besar dalam membimbing anak-anak buah mereka untuk sama-sama menjiwai dan menjayakan Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda