MAC lalu, Samsung telah mengesahkan bahawa mereka akan menjual telefon pintar Galaxy Note 7 yang diperbaiki dan maklumat terkini mencadangkan bahawa syarikat itu mungkin menjualnya pada harga jauh lebih rendah daripada harga asal.
Syarikat Korea Selatan itu dilaporkan mungkin akan menjual unit-unit diperbaiki itu separuh daripada harga pelancarannya.
Sementara laporan-laporan awal mencadangkan bahawa model-model diperbaiki Galaxy Note 7 berkenaan akan berharga kira-kira AS$620, maklumat terkini menunjukkan bahawa Samsung mungkin menjualnya serendah kira-kira AS$440, menurut laporan akhbar harian Korea Selatan, Chosun Ilbo yang dipetik The Investor.
Seorang pegawai Samsung dipetik sebagai berkata bahawa syarikat berkenaan belum memutuskan mengenai tarikh pelancaran Galaxy Note 7 yang diperbaiki tetapi ia akan dilancarkan sebelum ketibaan Galaxy Note 8 lewat tahun ini.
Unit diperbaiki berkenaan, dijangka dinamakan sebagai Galaxy Note 7R, telah dikatakan akan menonjolkan bateri 3200mAh yang lebih kecil berbanding bateri 3500mAh pada peranti asal dan menggunakan Android 7.0 Nougat. Spesifikasi lain telefon pintar berkenaan dijangka sama dengan yang asal.
Tahun lalu, Samsung menarik balik kira-kira empat juta telefon pintar Galaxy Note 7 atas kebimbangan bahawa baterinya boleh meletup.
Selepas siasatan, syarikat Korea Selatan berkenaan Januari lalu telah mengumumkan bahawa bateri-bateri rosak adalah punca seluruh isu berkenaan. Peranti-peranti yang diperbaiki berkenaan akan dijual di pasaran-pasaran tertentu.