Galaxy Note, peranti baharu dilancar

KUALA LUMPUR, 6 OGOS – Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung) telah melancarkan lima peranti, termasuk Galaxy Note terbaharu yang membantu pelanggan memaksimumkan pengalaman kerja dan bermain mereka.

Peranti tersebut adalah Galaxy Note20 dan Galaxy Note20 Ultra, Tab S7 dan S7 +, Galaxy Watch3, Galaxy Buds Live dan Galaxy Z Fold2.

“Teknologi harus memudahkan kehidupan, bukan merumitkan. Itulah sebabnya kami memperkenalkan lima peranti baharu yang canggih,” kata Presiden dan Ketua Perniagaan Komunikasi Mudah Alih Samsung, TM Roh dalam satu kenyataan.

Syarikat itu menganjurkan acara maya yang diadakan buat pertama kali bagi memperkenalkan peranti tersebut menerusi penstriman langsung dari Korea Selatan kelmarin. – Bernama