Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Galaxy Racer jangka labur AS$10 juta dalam e-sukan

    DUBAI, 12 JAN – Organisasi e-sukan yang berpangkalan di Dubai, Galaxy Racer menjangka untuk melabur AS$10 juta dalam tempoh lima tahun dalam ekosistem e-sukan Malaysia.

    Ketua Pegawai Pemasarannya, Allan Phang berkata syarikat menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital serantau dengan pembukaan ibu pejabat Asia Pasifiknya di negara itu selain merancang untuk menganjurkan lebih banyak acara dan kejohanan e-sukan untuk memudahkan dan meningkatkan ekosistem e-sukan di Malaysia.

    “Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang akan memacu ekonomi digital dalam kami menuju ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

    “Kami turut merancang untuk mewujudkan harta intelek baharu (dalam industri kandungan digital) yang akan memberi manfaat kepada industri Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

    Phang berkata bagi memacu pembangunan e-sukan di Malaysia, Galaxy Racer turut menyasarkan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam e-sukan dan telah menganjurkan Girl Gamer Festival World Finals di Dubai yang merupakan festival e-sukan pertama dan satu-satunya meraikan daya saing wanita dalam permainan video.

    Selain itu, katanya syarikat merancang untuk mewujudkan studio animasi kesan visual (VFX) bertaraf dunia di negara itu supaya lebih berdaya saing dalam pasaran global dan menjadi peneraju pasaran dalam industri.

    “Kami memahami dan mengiktiraf Malaysia adalah hab untuk studio animasi VFX dan kami juga sedang mengkaji bidang itu,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...