Galleria Artisan medan pemasaran usahawan kraf tangan

KOTA KINABALU – Galleria Artisan, milik Kumpulan Yayasan Sabah, menjadi medan kepada usahawan kraf tangan di negeri ini memasarkan produk mereka sekali gus membantu meningkatkan lagi pendapatan golongan itu.

Galeri yang terletak di aras bawah, blok A, bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah itu turut berperanan sebagai pusat sehenti bagi mengumpul, mempamerkan serta menjual pelbagai produk kraf tangan termasuk batik dan lukisan berkualiti tinggi hasil sentuhan usahawan tempatan seluruh negeri ini.

Pengurus Kristal Handal Sdn Bhd, Nuratiqah Sabrin berkata produk kraf tangan dipamerkan dan dipasarkan di galeri berkenaan mempunyai keunikan serta nilai estetika tersendiri yang menerapkan inspirasi serta motif masyarakat pelbagai etnik di Sabah.

Beliau berkata produk kraf tangan dipasarkan di galeri itu juga sangat eksklusif dan menitikberatkan kualiti yang pastinya memberi kepuasan kepada pengunjung yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong luar negara.

“Kita boleh lihat hasil tangan orang Sabah yang berunsurkan etnik seperti Murut, Dusun dan Rungus. Buat masa ini terdapat lebih 100 usahawan memasarkan produk kraf tangan mereka di galeri ini, ” katanya kepada Bernama, di sini.

Antara produk kraf tangan tempatan yang dipamerkan dan dijual di Galleria Artisan yang terletak di blok A, bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. Galleria Artisan, milik Kumpulan Yayasan Sabah, menjadi medan kepada usahawan kraf tangan di negeri ini memasarkan produk mereka sekali gus membantu meningkatkan lagi pendapatan golongan itu. –Bernama
Antara produk kraf tangan tempatan yang dipamerkan dan dijual di Galleria Artisan yang terletak di blok A, bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. Galleria Artisan, milik Kumpulan Yayasan Sabah, menjadi medan kepada usahawan kraf tangan di negeri ini memasarkan produk mereka sekali gus membantu meningkatkan lagi pendapatan golongan itu. –Bernama

Galeri berkeluasan 704.2 meter persegi yang diubah suai pada kos RM2 juta daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu hasil kraf tangan, batik serta lukisan.

Galleria Artisan yang dikendalikan syarikat Kristal Handal itu beroperasi pada Isnin hingga Jumaat mulai 8 pagi hingga 5 petang.

Nuratiqah berkata pengunjung pastinya akan berasa teruja apabila masuk ke galeri itu kerana selain tema hiasan dalaman yang menarik, terdapat pelbagai pilihan produk dan pengunjung pastinya tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana kesemua kraf tangan berkenaan dijual pada harga berpatutan.

Galeri tersebut turut menyediakan ruang pembuatan kraf bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat secara langsung kemahiran usahawan tempatan membuat kraf tangan dan melukis, katanya.

Sementara itu, Nurina Tawa, 37, usahawan dari Matunggong, Kudat berkata Galleria Artisan adalah platform bagi meningkatkan lagi penjualan produk kraf tangannya seperti gasing diinovasi daripada gubahan anyaman ribu-ribu dan pasu.

“Sebagai suri rumah, hanya menerusi perusahaan kraftangan ini sahaja yang mampu membantu menambah ekonomi keluarga selain membangunkan potensi diri,” katanya. – Bernama