Gambar kenderaan tular disiasat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima satu aduan yang dilaporkan di Balai Polis Berakas berkenaan insiden dipercayai perbuatan buli jalan raya dan siasatan telah dijalankan.

Ia susulan gambar tular di media sosial baru-baru ini tentang sebuah kenderaan yang telah mencetuskan banyak sentimen negatif menjurus kepada perbuatan dan tingkah laku pemandu kenderaan tersebut, menurut kenyataan dikeluarkan PPDB.

Menerusi siasatan tersebut pemandu akan berdepan dengan kesalahan di bawah Seksyen 506, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya ancaman itu menyebabkan kematian atau cedera parah atau menyebabkan kerosakan harta benda dengan pembakaran atau menyebabkan kesalahan yang boleh dihukum mati atau dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau menuduh seorang perempuan sebagai jalang, boleh dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

PPDB menegaskan kepada orang ramai untuk tidak bertindak sehingga menjerumuskan diri kepada perbuatan jenayah. Undang-undang negara akan sentiasa ditegakkan dan dikuatkuasakan bagi menjaga keselamatan orang awam serta ketenteraman dan keamanan negara.

PPDB telah menjalankan siasatan terhadap kenderaan yang tular di media sosial. – Gambar serahan PPDB