Gambar satelit bantu usaha pemuliharaan gajah

LONDON, 21 JAN – Penyokong pemuliharaan mula menggunakan gambar satelit untuk mengira gajah dari angkasa lepas, satu teknik yang diharapkan pakar British dapat membantu melindungi spesies terancam di Afrika.

Penyelidik di Universiti Oxford dan Universiti Bath berkata penggunaan algoritma, pembelajaran mesin dan teknologi satelit boleh mengganti teknik yang digunakan sekarang untuk mengira gajah, aspek penting dalam usaha pemuliharaan.

Jumlah gajah Afrika telah merosot dalam tempoh satu abad lalu disebabkan pemburuan, pembunuhan dan pemusnahan habitat,” kata Oxford dalam satu kenyataan.

“Untuk memelihara gajah memerlukan pengetahuan tentang di mana gajah berada dan jumlahnya, di mana pemantauan tepat adalah penting.”

Buat masa sekarang, teknik paling umum untuk meninjau jumlah gajah di habitat savana adalah pengiraan udara dari pesawat udara.

Pakar akademik berkata peninjau udara boleh rasa keletihan dan ada kalanya dihambat oleh penglihatan lemah.

“Pengawasan satelit pula adalah teknik tidak menonjol yang tidak mewajibkan kehadiran di darat, justeru menghapus risiko mengganggu spesies gajah tersebut, atau isu keselamatan manusia semasa mengumpul data,” tambah mereka.

“Satu proses yang biasanya mengambil masa berbulan boleh selesai dalam beberapa jam sahaja.”

Para saintis pertama membangunkan teknik tersebut di Taman Negara Gajah Addo di Afrika Selatan. – AFP

Gambar fail menunjukkan seekor gajah duduk di Delta Okavango berhampiran kampung Nxaraga di pinggir bandar Maun. – AFP