Gambar siling runtuh bukan di RPN Mengkubau

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Susulan gambar kerosakan rumah yang melibatkan runtuhan siling di bahagian bilik tidur tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp, Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP) memaklumkan bahawa kejadian itu bukanlah berlaku di rumah kawasan Rancangan Perumahan Negara Panchor (Mengkubau) seperti yang dinyatakan.

Kejadian itu sebenarnya berlaku di Greater Noida, India pada Mei lalu, jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh JKP, Kementerian Pembangunan, di sini, hari ini.

Dalam hubungan itu, JKP menyeru orang ramai supaya tidak menularkan mesej berkenaan dan menyampaikan berita yang tidak tepat. Kerjasama orang ramai juga sangat-sangat dipohonkan untuk memberigakan berita yang datang daripada sumber yang rasmi sahaja.

Kenyataan mengingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan menyebarkan maklumat palsu di bawah Bab 34, Akta Ketenteraman Awam (Public Order Act), Penggal 148, bahawa sesiapa yang sama ada secara lisan atau secara bertulis atau dengan apa jua cara lain, menyebarkan berita-berita palsu atau membuat kenyataan-kenyataan palsu yang mungkin menyebabkan orang ramai takut atau gundah gulana adalah melakukan kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman denda $3,000 dan penjara selama tiga tahun.

Bagi memastikan kesahihan sebarang maklumat yang berkaitan dengan JKP, orang ramai bolehlah menghubungi Unit Pembangunan Masyarakat dan Perhubungan Awam, JKP di talian 2382145 sambungan 7013 atau 7014, melalui alamat e-mel [email protected] atau melayari laman sesawang rasmi JKP di alamat www.housing.gov.bn.