Gambar tular kereta Tamiya palsu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan bahawa gambar mengenai kereta model Tamiya berada di atas jalan raya di negara ini yang tular di media sosial pada 12 Ogos adalah tidak benar.

JPD dalam kenyataannya menjelaskan, gambar berkenaan hanyalah dibuat secara Photoshop oleh individu berkenaan.

Dalam perkara itu, JPD mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak menyebarkan maklumat atau gambar yang boleh mengelirukan orang ramai khususnya dalam hal-hal berkaitan yang menyalahi peraturan dan undang-undang jalan raya.

JPD dalam kenyataannya turut mengingatkan bahawa menyebarkan maklumat palsu dan tidak sahih kepada orang awam merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam mengikut Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda $3,000 jika sabit kesalahan.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat serta memerlukan penjelasan lanjut, mereka boleh hadir ke Ibu Pejabat JPD, Gadong atau menghubungi talian 2451979/80/82 sambungan 111 atau 2423161 pada waktu bekerja atau e-mel kepada [email protected]

Manakala itu, bagi sebarang aduan berkaitan kesalahan lalu lintas, orang ramai bolehlah juga menghubungi Talian Darussalam 123 atau melalui aplikasi WhatsApp Talian Darussalam 8333123 atau melayari laman sesawang Talian Darussalam, www.123.gov.bn dengan menyertakan gambar mengenai kenderaan terlibat.

Kereta model Tamiya yang tular adalah hasil Photoshop. – Gambar serahan JPD