Gamuda beli tanah di Binh Duong

KUALA LUMPUR, 18 OKT – Gamuda Land HCMC Joint Stock Company (GL HCMC JSC), anak syarikat asing milik penuh Gamuda Bhd (Gamuda) di Vietnam, kini dalam proses pembelian sebidang tanah di Binh Duong New City (UG5.6) dalam usaha memacu pengembangannya di negara itu.

Tanah UG5.6 bernilai kira-kira RM228.5 juta itu merupakan sebahagian daripada bandar bersepadu seluas 1,052 hektar yang bakal dibangunkan sebagai pusat pentadbiran negara itu di wilayah Binh Duong.

“Pembelian tanah di Binh Duong itu adalah seiring dengan penekanan Gamuda terhadap portfolio membabitkan projek-projek antarabangsa yang menyumbang sebanyak dua pertiga daripada jualan hartanah bagi tahun kewangan 2021.

“Strategi tersebut telah membantu syarikat mengharungi prospek ekonomi yang mencabar pada suku-suku baharu dengan menyediakan hasil yang stabil dalam persekitran kelemahan sentimen serta ketidaktentuan mata wang dalam pasaran domestik,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini. – Bernama