Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Rantau ASEAN amat beruntung di mana dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini walaupun berlakunya cuaca kemarau yang melanda rantau berkenaan, tetapi tidak berlaku pencemaran jerebu merentas sempadan yang teruk.
Dalam hubungan itu, usaha berterusan negara-negara anggota ASEAN yang berkenaan dalam peranan mereka untuk menyumbang ke arah menangani isu-isu kebakaran hutan dan darat serantau bagi memastikan rantau ASEAN bebas jerebu menjelang 2020, harus diberi kepujian.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah dalam ucapannya ketika mempengerusikan Persidangan Pihak-pihak Perjanjian ASEAN bagi Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan ke-13 (COP-13 to AATHP) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.
Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin menyarankan supaya semua pihak yang berkenaan harus terus peka kepada kemungkinannya berlaku keadaan cuaca yang kurang mengizinkan pada masa akan datang yang mana ia setentunya akan menguji tahap kesiapsiagaan dan keupayaan untuk memberikan respons jika berlakunya kebakaran hutan dan darat pada musim kemarau.

Beliau turut melahirkan perasaan yakin bahawa mereka akan menggandakan lagi usaha dan terus bekerjasama bagi sama-sama menangani masalah kebakaran hutan dan darat di rantau ini. Persidangan itu disertai oleh lebih 100 orang ahli delegasi dari negara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN, wakil dari ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) dan pegawai-pegawai dari agensi-agensi kerajaan di mana delegasi dari Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar.
Perjanjian AATHP bermatlamat untuk mencegah dan memantau pencemaran jerebu merentas sempadan yang disebabkan oleh kebakaran hutan dan darat yang mana ia perlu dikurangkan menerusi usaha bersepadu di peringkat kebangsaan dan juga menerusi kerjasama serantau dan antarabangsa yang lebih kukuh.
Perjanjian itu dimeterai pada 10 Jun 2002 di Kuala Lumpur, Malaysia dan mula berkuatkuasa pada 2003 yang mana ia diurus oleh Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN serta wakil-wakil daripada negara-negara anggota ASEAN. Perjanjian AATHP mengandungi langkah-langkah bagi memantau dan menilai, pencegahan, kesiapsiagaan, respons kecemasan bersama dan kebangsaan, prosedur bagi penghantaran anggota, bahan dan peralatan merentas sempadan serta kerjasama teknikal dan penyelidikan saintifik.