Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Ganding bahu perkasa kesedaran kesihatan mental

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kehidupan manusia tidak akan pernah terlepas daripada mengalami rangkaian emosi, cabaran dan ujian dalam meniti kehidupan yang fana ini.

    Perkara ini berlaku secara universal, tidak kira pada diri seorang Islam mahu pun bukan Islam yang mana semua itu boleh menyumbang kepada faktor-faktor yang berhubung kait dengan isu-isu kesihatan mental.

    Mungkin ramai di antara kita masih tidak sedar atau hanya sambil lewa beranggapan mengenai kepentingan kesihatan mental ini.

    Masalah kesihatan mental bukan hanya merujuk kepada akal tidak sihat, namun hakikatnya apabila berlakunya tekanan, keresahan, insomnia dan kemurungan itu juga merupakan antara tanda-tanda masalah kesihatan mental yang boleh memudaratkan diri seseorang sehingga jika tidak dibendung boleh membawa kepada peristiwa tragis seperti membunuh diri.

    Tingkat kesedaran bersama

    Tanggal 10 Oktober merupakan hari memperingati Hari Kesihatan Mental Sedunia setiap tahun dan pada tahun ini membawa tema ‘Jadikan Kesihatan Mental dan Kesejahteraan untuk Semua Keutamaan Global’, yang sewajarnya untuk semua lapisan masyarakat sentiasa membuka minda dan jiwa ke arah usaha berterusan menjaga kesihatan bersama meliputi mental mahu pun fizikal dalam menjalani kehidupan seharian demi menuju masyarakat yang cemerlang dan gemilang dalam menempuhi cabaran semasa.

    Masalah kesihatan mental bukan hanya merujuk kepada akal tidak sihat, namun hakikatnya apabila berlakunya tekanan, keresahan, insomnia dan kemurungan itu juga merupakan antara tanda-tanda masalah kesihatan mental yang boleh memudaratkan diri seseorang.
    Tanggal 10 Oktober merupakan hari memperingati Hari Kesihatan Mental Sedunia setiap tahun dan pada tahun ini membawa tema ‘Jadikan Kesihatan Mental dan Kesejahteraan untuk Semua Keutamaan Global’. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
    Antara langkah untuk menjauhi masalah-masalah kesihatan mental berlaku pada diri dalam keadaan sedar atau tidak adalah dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

    Oleh itu, menjaga kesihatan diri sama ada jasmani mahupun rohani adalah perkara yang amat dituntut dalam ajaran Islam. Melalui kedua-dua kesihatan berkenaan, baharulah kita dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara dengan sebaik-baiknya.

    Namun, manusia sering alpa kerana kesihatan yang memberikan nilai dalam hidupnya hingga tidak menghargai mahalnya nikmat itu, sekali gus tidak sedar ia sebahagian daripada detik kehidupannya. Kebanyakan manusia hanya menyedari betapa berharganya nilai kesihatan apabila mengalami kesakitan atau ditimpa penyakit.

    Oleh itu antara langkah untuk menjauhi masalah-masalah kesihatan mental berlaku pada diri dalam keadaan sedar atau tidak, kita sebagai hamba yang kerdil di muka bumi ini perlulah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT, di samping mengamalkan gaya hidup sihat iaitu dengan melakukan aktiviti riadah atau senaman, pengambilan pemakanan yang sihat dan seimbang, mendekatkan diri bersama insan-insan yang berjiwa positif agar segala pemikiran dan persekitaran kita juga terarah kepada nilai-nilai positif.

    Begitu juga, kita mestilah sentiasa mendapat tidur yang mencukupi iaitu tujuh ke lapan jam sehari dan sentiasa mendapat bantuan profesional daripada pakar psikologi atau kaunselor apabila mengalami gejala-gejala berkenaan.

    Singkir stigma, jauhi diskriminasi

    Walau bagaimanapun satu perkara juga yang perlu diketahui bersama, stigma sesetengah masyarakat terhadap penyakit mental itu sebenarnya memberi kesan lebih mendalam kepada golongan pesakit dan akhirnya boleh membawa kepada tindakan membunuh diri serta pelbagai implikasi kesihatan lain.

    Sesetengah orang apabila mendengar seseorang individu itu menemui ahli pakar psikiatri yang menyarankannya mengambil ubat tertentu, diharap janganlah beranggapan seseorang itu sebagai sudah kurang waras. Hal ini akhirnya mengguris hati dan jiwa pesakit semakin membara dan menderita dalam diam sehingga menjadikan mereka takut untuk berkongsi keadaan dengan sesiapa mahupun menerima rawatan. Perkara inilah menjadi salah satu faktor sebahagian kes berkaitan kesihatan mental tidak diagnosis.

    Realitinya, penyakit itu meningkat pada kadar membimbangkan pada peringkat global. Isu dianggap tabu ini menular tanpa sedar dalam kalangan masyarakat kerana adanya tekanan kehidupan sekeliling yang bagaikan duri di depan mata. Baik tekanan keluarga, di tempat kerja, akademik dan ditambah lagi dengan faktor masyarakat di sekitar.

    Bersatu kita ‘awasi, dengar dan bantu’

    Meski cabaran demi cabaran sering menerjah kehidupan kita, namun yakinlah semua ujian dari Allah SWT pasti ada hikmah di sebaliknya.

    Bayangkan, jika kita mengalihkan pandangan ke arah laut yang memiliki kecantikan air yang membiru dan penuh ketenangan, akan tetapi apa yang terpendam di dalam lautan tersebut tidak siapa yang boleh mengetahuinya, hanya Pencipta yang Maha Kuasa sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, suasana riang dan sedih yang dialami, namun hakikatnya hanya Allah SWT sahajalah yang mengetahui rahsia sesebuah kehidupan.

    Oleh itu, bersama-samalah kita berganding bahu dalam mengawasi ahli keluarga dan orang-orang di sekeliling kita dengan sentiasa mengawasi perilaku mereka dari semasa ke semasa demi mewujudkan masyarakat yang sentiasa memiliki kesihatan mental dan juga fizikal yang baik. Jadilah insan yang prihatin dengan mengawasi, mendengar dan membantu.

    Ingatlah, tanggungjawab untuk mencegah penyakit mental bukan hanya terletak kepada badan atau perkhidmatan kesihatan mental semata-mata tetapi juga pihak lain termasuk institusi pendidikan, badan profesional serta masyarakat keseluruhannya. Hal ini adalah amat penting dititikberatkan oleh semua pihak kerana rakyat dan penduduk merupakan sumber tenaga manusia yang lebih berdaya tahan dan produktif untuk negara.

    Dengan kata lain, rakyat dan penduduk yang sihat akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara, di samping berpegang teguh kepada agama Islam dan adanya nilai kebruneian yang tinggi ke arah mencapai objektif Wawasan Brunei 2035 dan visi Kementerian Kesihatan ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...