Ganding bahu ringankan beban

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Bagi meringankan beban mereka yang memerlukan, seramai 38 penerima yang berusia 12 tahun ke bawah kelmarin telah menerima sumbangan dalam Majlis Penyerahan Bantuan Projek Drop Box kelolaan Biro Wanita dan ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Panchor Mengkubau.

Projek berkenaan merupakan antara pemedulian Biro Wanita kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya anak-anak yatim dan ia juga bertujuan untuk mengajak penduduk kampung dalam melakukan perkara-perkara kebajikan bagi meringankan beban mereka yang amat kurang berkemampuan bagi menyediakan keperluan sekolah seperti beg dan keperluan lain.

Selain itu, projek ini juga diharap dapat meningkatkan lagi kemesraan di kalangan MPK bersama para penerima sumbangan dan keluarga serta memupuk nilai-nilai murni dalam perpaduan yang telah dicapai.

Kejayaan dalam melaksanakan projek ini merupakan komitmen berterusan daripada kalangan ahli-ahli Biro Wanita khasnya dan MPK RPN Panchor Mengkubau yang sentiasa sama-sama membantu dalam apa jua projek yang dikendalikan.

Barangan sumbangan yang diperoleh ini juga merupakan atas dasar pemedulian berterusan dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara yang tidak kendur-kendur membantu untuk semua projek serta daripada kalangan ahli.

Salah seorang penerima menerima sumbangan berupa barang keperluan sekolah.
Antara yang hadir bergambar ramai pada acara tersebut.