Tuesday, December 10, 2024
34.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gandingan kerajaan, swasta pacu kejayaan

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani & Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Negara Brunei Darussalam dan seluruh negara lain di dunia ini, berhadapan kejutan berganda pada tahun lalu apabila pandemik COVID-19 melanda dan kejatuhan harga minyak global yang membawa kepada cabaran baharu dalam ekonomi dan sosial.

    Ia sekali gus menyaksikan gangguan ekonomi dan sosial bersejarah besar-besaran di seluruh dunia sehingga menjejaskan pekerjaan dan produktiviti global, mempercepatkan pergeseran paradigma.

    Walau bagaimanapun, di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan melalui kerja keras serta usaha gigih pihak kerajaan, swasta dan orang ramai, pihak berkuasa mampu bertindak balas pantas mengawal penularan virus dan berjaya melindungi nyawa dan kehidupan rakyat negara ini, membolehkan keadaan kembali beroperasi hampir seperti biasa.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa berucap pada sesi Jaringan BBYB 2021 yang berlangsung di Muzium Teknologi Melayu di Kota Batu, hari ini.

    Menurutnya lagi, kerjasama dan solidariti dipamerkan oleh rakyat negara ini memainkan peranan besar dalam usaha kolektif pihak berkuasa mengurangkan impak COVID-19 melalui pelbagai usaha seperti kerja-kerja sukarelawan, dana bantuan COVID-19, penggunaan teknologi aplikasi BruHealth dan banyak lagi yang mempamerkan kesediaan rakyat Brunei untuk bersatu dan bekerjasama mengharunginya.

    YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah, YAM Pengiran Anak Khaliilah Khalilatul Bolqiah dan YAM Pengiran Anak Naafi’ah Khairul Bulqiah serta CEO Kumpulan QAF semasa menghadiri sesi jaringan tersebut.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Jaringan BBYB 2021 di Muzium Teknologi Melayu.
    Pemimpin-pemimpin industri daripada sektor swasta serta syarikat-syarikat GLC serta perwakilan-perwakilan negara ASEAN + 6 yang hadir pada majlis tesebut.

    Yang Berhormat Dato turut memuji sumbangan dan peranan pihak swasta ketika pandemik yang kini semakin penting memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui Pelan Kelangsungan Perniagaan mereka. Bagi melindungi sektor swasta terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) semasa pandemik kerajaan dan swasta berganding bahu menyediakan pelbagai platform dalam talian seperti Community for COVID dan Community for Ramadhan yang menjadi alternatif bagi pemilik perniagaan untuk menjangkau pelanggan, tambahnya.

    Yang Berhormat Dato turut menyenaraikan pelbagai langkah diambil ketika waktu puncak wabak termasuklah menjaga kesejahteraan orang awam, melindungi pekerjaan dan memberikan sokongan kepada individu serta menyokong dan membantu perniagaan dalam langkah jangka pendek dan panjang.

    Langkah-langkah itu dapat dilihat melalui pembinaan pusat kesihatan, makmal dan sidang media harian, penangguhan bayaran pinjaman, subsidi kepada PMKS, potongan cukai korporat dan sebagainya, tambahnya.

    “Manakala bagi persediaan berhadapan pengangguran akibat pandemik, Brunei Darussalam telah merangka langkah-langkah jangka masa panjang antaranya mencipta pekerjaan di bawah JobCentre Brunei serta pelbagai lagi program latihan dan perantisan.

    Hubungan jangka panjang dengan rakan perniagaan juga penting sehingga membolehkan kita bekerja secara kolektif melalui perkongsian pengalaman dan maklumat serta mewujudkan inisiatif bermakna seperti ASEAN Comprehensive Recovery Framework, dengan objektif untuk memulihkan ekonomi kita dengan cara yang selamat, adil dan makmur untuk semua, katanya.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda