Gandingan Martinez, Lukaku julang Inter

DUSSELDORF, JERMAN, 18 OGOS – Inter Milan sudah ditakdirkan memperoleh pencapaian hebat di bawah Antonio Conte, menurut Lautaro Martinez selepas pemain Argentina itu dan Romelu Lukaku masing-masing menjaringkan dua gol ketika membenam Shakhtar Donetsk 5-0 di Dusseldorf dan mara ke pusingan final Liga Europa.

Danilo D’Ambrosio turut mencatat nama selaku penjaring untuk gergasi Itali, yang akan berdepan Sevilla di perlawanan final di Cologne pada Jumaat ini.

Inter yang mengharungi dekad tanpa memenangi sebarang trofi sejak memenangi Liga Juara-Juara pada 2010, menghampiri jurang dengan pasukan teratas Serie A, Juventus hanya dengan satu mata dalam musim pertama Conte mengambil alih tugasan dan kini selangkah dari mengecap trofi pertama dalam tempoh sembilan tahun.

Gandingan mantap Martinez dan Lukaku telah menjadi sumber kejayaan Inter dan mereka berjaya menjaringkan 54 gol terkumpul untuk musim ini.

“Malam ini merupakan malam yang istimewa, sesuatu yang kami impikan,” kata Martinez, yang sering dikaitkan berpindah ke Barcelona untuk menjadi pengganti Luis Suarez.

Selepas permulaan yang perlahan, Martinez meletakkan Inter di landasan yang betul untuk mara ke pusingan final Eropah kali ke-10 ketika dia menjaringkan gol menerusi hantaran Nicolo Barella untuk membuka jaringan pada minit ke-19.

Shakhtar adalah salah sebuah kelab Eropah yang terselamat selepas juara Ukraine itu kekal meneruskan perjuangan meskipun tidak bermain di bandar Donetsk selama enam tahun disebabkan oleh peperangan di timur Ukraine di antara pasukan kerajaan dan pihak pemisah Rusia.

Pasukan bimbingan Luis Castro telah menjaringkan 14 gol dalam lima perlawanan Liga Europa sejak disingkirkan dari Liga Juara-Juara, tetapi pemain berbakat dari Brazil masih tidak cukup untuk menguji pertahanan yang disusun rapi oleh Conte. – AFP

Reaksi Romelu Lukaku meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukannya semasa menentang Shakhtar Donetsk dalam perlawanan separuh akhir Liga Europa.- AFP