Gangguan air di beberapa kawasan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa kerja-kerja pemasangan paip air baharu berukuran 300mm diameter dari Jalan Babu Raja sehingga Lampu Isyarat Telanai dan sekitarnya mula dilaksanakan pada hari ini dari pukul 9 malam hingga 12 malam.

Sehubungan itu, pengeluaran air bersih akan berkurangan daripada biasa dan kawasan berkenaan akan menerima gangguan bekalan air, JKR memaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, jabatan tersebut juga memaklumkan mengenai penutupan sementara bekalan air disebabkan oleh kerja-kerja penggantian injap berukuran 600mm diameter di Tangki Lambak Kanan yang dilaksanakan bermula pukul 10 malam ini hingga kerja-kerja selesai.

Pengeluaran air bersih akan berkurangan daripada biasa dan beberapa kawasan akan menerima gangguan bekalan air. Antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Kampung Madang, sebahagian Kampung Manggis I dan kawasan sekitarnya.

Dalam hubungan itu, JKR memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui lori tangki atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih dan perkhidmatan lori tangki adalah terhad.

JKR dalam kenyataannya memohon maaf atas perkara berkenaan dan berterima kasih atas kefahaman dan kesabaran orang ramai.