Gangguan air di kawasan tinggi

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Kerja-kerja pembaikan paip air utama yang bocor di Jalan Gadong Estate telah pun dijalankan petang kelmarin bagaimanapun beberapa buah rumah di kawasan-kawasan tinggi akan terus berdepan tekanan air rendah dan gangguan air disebabkan sistem bekalan air memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bekerja keras sejak malam semalam berusaha membaik pulih kebocoran dari paip besar berdiameter 1200mm turut berdepan pelbagai kesukaran dan cabaran untuk menangani kebocoran berkenaan.

Perkara itu dikongsikan oleh Pemangku Jurutera Air Daerah, Awang Azman bin Haji Mohd Salleh semasa ditemu bual di tapak pembaikan.

“Selepas berjam-jam operasi mengosongkan air dalam paip tersebut, kebocoran besar sudah pun dikesan di sisi jurang yang luas yang terletak di bahagian bawah paip dan di dalam tolokan paip.

“Para pekerja terpaksa menggali lebih dalam di bawah paip tersebut dan memotong tolokan paip kemudiannya mengimpal plat besi untuk menutup kebocoran itu,” ujar Awang Azman.

Kerja-kerja pembaikan paip yang giat dilaksanakan kelmarin di Jalan Gadong Estate.

Menurut JKR, jabatan itu pada masa ini berusaha untuk membekalkan air yang berterusan di kawasan yang terjejas dan penduduk juga boleh mendapatkan bekalan air daripada tangki biru yang telah ditempatkan di Kampung (Kg) Lambak Kanan, Kg Subok dan STKRJ Kg Rimba.

Penduduk yang terjejas juga dinasihatkan membawa botol atau bekas air sendiri untuk mendapatkan bekalan air di kawasan Perpindahan Lambak Kanan (Dewan Kemasyarakatan Jalan 77, Dewan Kemasyarakatan Jalan 2, Masjid Perpindahan Lambak Kanan, sekitar Jalan 11 Perpindahan Lambak Kanan, Pusat Pembangunan Kapasiti Lambak Kanan), manakala di Kg Subok (Taman Serubing, Masjid Kg Belimbing, Spg 287-21, Spg 339, Spg 309, Spg 530) dan STKRJ Kg Rimba di sekitar Spg 135 dan Spg 127.

Selain itu para penduduk yang terjejas juga boleh menggunakan standpipe di kawasan Pejabat Jabatan Perkhidmatan Air, Tasek Lama (berhampiran simpang masuk Jabatan Perkhidmatan Air) atau mengambil beg air yang di tempatkan di Masjid Subok.

Pihak jabatan memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi dan bagi sebarang permohonan untuk pembekalan tangki air bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123 atau 8333123, bagaimanapun perkhidmatan tangki air adalah terhad.

Oleh yang demikian adalah diharapkan agar orang ramai akan dapat mengambil langkah untuk menjimatkan penggunaan air sehingga bekalan air pulih seperti sediakala.