Gangguan bekalan air

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan, memaklumkan mengenai gangguan bekalan air dan tekanan rendah bagi keseluruhan kawasan Kuala Belait dan sebahagian kawasan Seria bermula 7 malam hari ini.

Gangguan bekalan air berkenaan adalah disebabkan kerja-kerja pemasangan Cable Genset di Pengambilan Air Mentah Badas Stage 4 dan bekalan akan pulih sebaik sahaja kerja-kerja pemasangan selesai dijalankan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, JKR turut memaklumkan mengenai gangguan bekalan air dan tekanan rendah bagi keseluruhan kawasan Mukim Lumut, Mukim Liang, Mukim Bukit Sawat, Mukim Labi, Mukim Melilas dan Mukim Sukang pada 15 Ogos ini.

Ini disebabkan Pemasangan Cable Genset di Pengambilan Air Mentah Badas Stage 5 yang akan bermula pada jam 7 pagi hari berkenaan.

JKR dalam kenyataannya memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi dan bagi sebarang permohonan untuk pembekalan lori tangki air bolehlah menghubungi Hotline Talian Darussalam 123 atau Live Channel 123 (+673 8333123) dan perkhidmatan berkenaan adalah terhad.

Oleh yang demikian, orang ramai diharap akan dapat mengambil langkah untuk menjimatkan penggunaan air sehingga bekalan air pulih seperti sediakala.