Gangguan bekalan air dekat lebuh raya 51.3km

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa paip air utama berukuran 1,200mm di Lebuhraya Muara-Tutong (berhampiran tanda 51.3km) telah mengalami kebocoran dan kerja-kerja pembaikan paip sedang dilaksanakan.

Oleh yang demikian, JKR dalam kenyataannya di sini, menyatakan bahawa beberapa kawasan terjejas iaitu Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Kampung Perumahan Meragang, Kampung Tanah Jambu, Kampung Salambigar dan sekitarnya akan mengalami tekanan rendah atau tiada bekalan air (terutama di kawasan tinggi).

Pada masa yang sama, untuk mengurangkan keadaan bekalan air yang tidak stabil, tangki air biru telah ditempatkan di Kampung Perpindahan Lambak Kanan iaitu di Jalan 49, Jalan 64, Jalan 11, berdekatan Sekolah Rendah Dato Marsal, kawasan pondok polis dekat Dewan Kemasyarakatan Jalan 77, Masjid RPN Lambak Kanan, berdekatan Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan di luar kawasan Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar.

Di Kampung Perumahan Meragang pula, tangki air biru akan ditempatkan di Taman Rekreasi RPN Meragang.

Sehubungan itu, penduduk yang terjejas boleh pergi ke kawasan berkenaan dan dinasihatkan untuk membawa botol atau bekas air sendiri.

JKR dalam kenyataannya memberi jaminan kepada orang ramai bahawa setiap langkah telah diambil untuk menangani bekalan air rendah tersebut dan pihak jabatan berusaha untuk melaksanakan pembekalan air kembali seperti biasa secepat mungkin.