Gangguan bekalan air di beberapa kawasan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan, dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, kelmarin, memaklumkan bahawa isu air kekuningan berkenaan masih berlaku di beberapa kawasan pada masa ini.

JKR menjelaskan, isu berkenaan disebabkan kualiti air mentah Sungai Tutong yang masih tidak konsisten dan mengandungi tahap Colour Unit atau warna yang tinggi atau gelap (kehitaman).

Dalam hal itu, tambah kenyataan, Loji Rawatan Air Bukit Barun telah meningkatkan operasi desludging untuk mengurangkan floc dan mencegah sistem penapisan air (water filtration system) daripada tersumbat.

Walau bagaimanapun, operasi tersebut telah mengakibatkan pengurangan penghasilan air bersih dan menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan terutama bagi kawasan tinggi.

Kenyataan menyatakan, sebagai usaha tambahan bagi menangani isu air berwarna berkenaan, beberapa kerja operasi sedang giat dilaksanakan masa ini seperti mencuci tangki-tangki simpanan air, menggunakan kimia tambahan, memastikan tangki penapisan, kolam penjernih, dos kimia, pam-pam dan sebagainya di loji rawatan air berfungsi dengan baik serta memantau kualiti air mentah.

Di samping itu, JKR juga sentiasa memantau kualiti bekalan air berdasarkan parameter garis pandu Piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Begitu juga, pihak jabatan sentiasa menjalankan pemantauan rutin ujian sampel air serta melaksanakan operasi flushing rangkaian paip air secara berterusan di kawasan-kawasan terlibat.

Sehubungan itu, JKR menasihatkan orang ramai supaya memasak air sebelum digunakan untuk masakan atau minuman sebagai langkah berjaga-jaga tambahan.

Dalam pada itu, pihak jabatan juga memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui lori tangki atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.