Gangguan bekalan air di beberapa kawasan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Beberapa gangguan bekalan air berlaku pada masa ini di sebahagian kawasan Daerah Brunei dan Muara, termasuk Mukim Lumapas, Mukim Kota Batu, sebahagian Mukim Berakas dan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan.

Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini menyatakan, walau bagaimanapun, tiada penutupan bekalan air dilakukan oleh pihak jabatan itu.

Gangguan bekalan adalah akibat kualiti air mentah Sungai Tutong berada di tahap warna yang gelap (kehitaman). Ini telah menjejaskan hasil pengeluaran air bersih di Loji Rawatan Air Bukit Barun dan bekalan air ke tangki utama Kiarong yang membekalkan air ke kawasan Kota Batu, Subok dan Lumapas.

Dalam kesempatan ini, pihak JKR ingin menasihatkan agar penduduk di Mukim Berakas (terutamanya di kawasan RPN Lambak Kanan) untuk mengisikan air ke dalam bekas-bekas air dan berjimat cermat dalam penggunaan air.

Pihak jabatan terus giat berusaha untuk menangani masalah tersebut agar bekalan air dapat dibekalkan seperti sedia kala dengan secepatnya tertakluk kepada kualiti air mentah yang diharapkan akan beransur baik dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan lagi, pada masa ini, beberapa tangki biru ditempatkan di beberapa lokasi untuk kemudahan orang ramai iaitu di kawasan Subok ditempatkan di Taman Riadah Sarubing; depan Sekolah Rendah OKBI Subok (Simpang 309/322); dan Flat Kebajikan Masyarakat JAPEM (Simpang 564), bagi kawasan Lumapas tangki biru ditempatkan di Pos Ofis Lumapas; rumah ketua kampung Lumapas; Jalan Mambarong; Jalan Pawas Kecil; STKRJ, Kampung Lumapas dan bekas Bangunan Lama Jabatan Jalan Raya Kampung Lumapas. Manakala bagi kawasan Kota Batu adalah di depan Muzium Brunei.

Sehubungan itu, untuk penghantaran air tanker adalah disarankan untuk menghubungi hotline Darussalam di talian 123 ataupun melalui WhatsApp 123 (8333123), Facebook Jabatan Kerja Raya Brunei Darussalam ataupun Instagram JKRBRUNEI.