Gangguan bekalan air di beberapa tempat

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa bahawa paip air berukuran 300mm berhampiran pusing keliling Kiarong mengalami kebocoran dan kerja kecemasan pembaikan paip sedang dilaksanakan.

Oleh yang demikian, beberapa kawasan akan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air terutama di kawasan tinggi iaitu Jalan Beribi, Jalan Bunga Jasmin, Jalan Flat Kiarong, Kampung Kiulap Jalan Kiarong, Jalan Pasar Gadong, kawasan Mall Gadong, Maktab Duli Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah, Jalan Dato Ratna, Jalan Elia Fatima, kawasan komersil Kiulap dan sekitarnya, JKR memaklumkan dalam kenyataannya, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, JKR turut memaklumkan bahawa kerja-kerja kecemasan penggantian kerosakan beberapa injap dan tangki tapisan di Loji Rawatan Air Seria sedang dilaksanakan pada masa ini.

Oleh itu, pengeluaran air bersih akan berkurangan daripada jumlah biasa dan beberapa kawasan akan menerima gangguan bekalan air dan tekanan air rendah terutama sekali bagi kawasan tinggi.

Kawasan-kawasan yang terlibat termasuk Perumahan Kampung Mumong dan Perumahan Kampung Pandan dan sekitarnya serta kawasan Perumahan Lorong Tengah, Perumahan Rakyat Jati Seria, Perumahan Panaga dan sekitarnya.

Walau bagaimanapun, JKR dalam kedua-dua kenyataannya memberi jaminan kepada orang ramai bahawa setiap langkah telah diambil untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan serta berusaha untuk membekal air seperti biasa secepat mungkin.

JKR turut memohon kerjasama semua pihak untuk berjimat cermat dalam penggunaan air serta menghubungi Talian Darussalam 123 bagi pembekalan air bersih melalui tanker atau sebarang aduan berhubung pembekalan air bersih.