Gangguan Internet akibat kerosakan kabel SJC

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Berhubung dengan kejadian berlakunya gangguan sambungan Internet yang melanda negara baru-baru ini, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan Unified National Networks (UNN) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa gangguan berkenaan disebabkan adanya kerosakan besar kepada South-East Asia Japan Cable (SJC) sehingga mengakibatkan gangguan seketika perkhidmatan Internet, data, IDD international dan roaming.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan dari AITI dan UNN, hari ini, menjelaskan konsortium SJC telah mendapati lokasi kerosakan berlaku sekitar 250 kilometer hingga 300 kilometer dari perairan Brunei. Walau bagaimanapun, ia memerlukan lebih banyak masa untuk menentukan lokasi yang tepat dan membuat pembaikan.

Akibat kerosakan berkenaan, ramai pengguna Internet mengalami tindak balas yang lebih perlahan terhadap aplikasi yang mereka gunakan terutamanya semasa waktu sibuk.

Sebagai langkah untuk mengatasi masalah tersebut, UNN segera mengaktifkan kapasiti tambahan melalui Transborneo Cable System untuk mengurangkan risiko kesesakan dan memastikan pengguna mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk Internet dan kesalinghubungan. Perkhidmatan kewangan yang terkesan akibat gangguan tersebut telah dipulihkan pada hari yang sama.

Namun pada 25 Disember lalu, satu lagi kerosakan berlaku pada Transborneo Cable System yang meningkatkan lagi pengurangan kapasiti Internet dan kesalinghubungan di negara ini.

Pihak UNN sedang berusaha dengan rakan antarabangsa yang lain untuk memulihkan perkhidmatan agar kembali normal. Ia turut memaklumkan bahawa sementara kerja-kerja pembaikan dijalankan, perkhidmatan tetap dan perkhidmatan mudah alih akan terus mengalami gangguan semasa menggunakan Internet terutama semasa waktu sibuk.

Pihak AITI akan terus memantau situasi dan bekerjasama rapat dengan UNN untuk mengatasi masalah tersebut.