Gangguan: lelaki didenda $1,500

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Seorang lelaki tempatan yang menyebabkan gangguan kepada orang ramai dengan duduk di tepi jambatan kelmarin telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan diperintahkan untuk membayar hukuman denda $1,500.

Muhammad Azami bin Awang Umar, 30, mengaku bersalah atas tuduhan menimbulkan gangguan orang ramai atas perbuatannya duduk di tepi Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pada pukul 8:25 malam pada 3 September, sehingga menimbulkan kegusaran kepada orang ramai yang menggunakan jambatan berkenaan.

Tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama sebulan jika tidak dapat membayar denda sebelum 30 September.

Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah Ahmad Ghazali mendedahkan kepada Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid bahawa tertuduh menghadapi masalah peribadi dan merasa tertekan.

Pada petang itu tertuduh berjalan dari Kampung Setia A menuju ke jambatan tersebut di mana dia memanjat pagar dan duduk di tepi jambatan.

Orang ramai kemudian membuat panggilan kecemasan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang kemudian segera tiba.

Petugas cuba memujuk tertuduh untuk menjauhkan dari tepi jambatan tersebut tetapi tidak berhasil.

Tidak lama kemudian, teman wanita tertuduh datang ke tempat kejadian dan cuba berbicara dengannya di mana ketika itu anggota bomba memanfaatkan keadaan tersebut dan menarik tertuduh dari tepi jambatan tersebut.

Tertuduh kemudian diserahkan kepada pihak polis.