SEREMBAN, 5 Mei – Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa terdapat gangguan dan pencerobohan siber di pejabatnya termasuk akaun media sosial miliknya, sejak Jumaat lepas. Anwar, yang juga Presiden PKR dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedang menyelenggarakan permasalahan itu dan menyarankan agar semua pihak kekal berwaspada dengan segala maklumat yang datang dari pejabatnya mahupun akaun-akaun media sosial atas namanya.
“Kami sedang berusaha dengan pihak yang berkaitan dalam menyelesaikan isu pencerobohan siber ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata gejala pencerobohan siber sebegini semakin merebak ketika kita meluangkan seberapa banyak masa di ruang digital.
“Ternyata ia suatu impak yang negatif dalam keghairahan kita mencakup teknologi, dan senantiasa terdedah kepada individu yang menggunakan perkakas-perkakas digital sama ada untuk keuntungan segera atau membangkit ketidaktentuan dan kecelaruan.
“Sedang ‘big data’ dan kecerdasan buatan hanya akan dipacu dengan baik sekiranya ruang digital digunakan secara meluas, ia harus diseimbangkan dengan perlindungan data yang munasabah dan pendekatan yang baik dalam bagaimana data diguna pakai.” – Bernama