Gangguan seksual di tempat kerja serius

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Gangguan seksual di negara ini agak serius apabila sebanyak 55 peratus iaitu lebih separuh wanita Brunei yang ikut serta dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam, mengalami gangguan seksual di tempat kerja.

Statistik ini dikongsi oleh ASP Hajah Nur Amni Alyani binti Haji Abdul Rahman dari Unit Siasatan Penderaan Kanan-kanak dan Wanita, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) semasa menyampaikan kertas kerja pada S’CUSE ME, #Knowyourlimits: Against Outraging Modesty Awarness di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

ASP Hajah Nur Amni Alyani seterusnya menambah, dalam laporan insiden gangguan seksual PDB, 84 peratus daripada responden merasa perlindungan perundangan tidak mencukupi bagi mangsa-mangsa gangguan seksual di tempat kerja.

Semasa menyampaikan kertas kerja itu, beliau menjelaskan maksud gangguan seksual di tempat kerja ini antaranya perlakuan seksual yang tidak diundang atau tidak diingini selain membuat seseorang merasa tersinggung, dihina, dimalukan atau diintimidasi.

ASP Hajah Nur Amni Alyani semasa menyampaikan ceramah pada acara tersebut.
Yang Berhormat Dayang Khairunnisa hadir selaku tetamu kehormat.

Menurutnya lagi, terdapat pelbagai jenis gangguan seksual antaranya dengan tingkah laku menggoda atau cara yang tidak sesuai dan senonoh, jenaka di luar batasan, komen seksual, cubitan dan meraba atau sentuhan.

Manakala itu, serangan seksual antaranya ancaman, peras ugut, rasuah seksual, kekerasan fizikal, meramas seksual dan serangan paksa, jelas beliau.

Acara turut mendengarkan ceramah bertajuk ‘Gangguan Seksual di Tempat Kerja’ yang disampaikan oleh Hajah Zuraidah binti Pehin Dato Haji Sidek selain demonstrasi mempertahankan diri dan bengkel.

Antara lain tujuan ceramah itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan orang awam terhadap gangguan seksual di Brunei di samping membantu mangsa terhadap apa yang perlu dilakukan apabila ia berlaku.

Di samping itu, ia juga menekankan bahawa bergurau mempunyai batasnya dan ia boleh berlaku bukan saja dalam lingkungan kerja tetapi juga dalam kalangan orang awam dan di rumah selain ia tidak hanya berlaku kepada wanita dan kanak-kanak tetapi juga lelaki.