Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Gangguan seksual: Warga asing dipenjara 14 bulan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Mahkamah Majistret, hari ini, telah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dengan sekali sebatan ke atas seorang lelaki warga Indonesia berusia 43 tahun kerana melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita tempatan berusia 32 tahun di tempat kerja mereka.

    Nanang Prasetyo Handoko mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan atas kesalahan yang sama, tetapi memberitahu mahkamah bahawa ia dilakukan dengan tujuan sebagai gurauan.

    Bagaimanapun, dia memohon pengampunan mangsa dan kelonggaran mahkamah.

    Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni berkata, gangguan seksual di tempat kerja merupakan isu yang serius dan tidak dibenarkan oleh mahkamah.

    Terdapat kepentingan awam kerana ia menjejaskan mangsa dan melanggar hak mereka untuk berasa selamat di tempat kerja.

    Majistret seterusnya menjelaskan bahawa hakikat yang dia menganggapnya lucu menunjukkan bahawa dia tidak menghormati mangsa dan tidak mengambil kira akibat daripada tindakannya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri Kiprawi mendedahkan di mahkamah bahawa defendan, seorang penjaga stor di premis syarikat di Perindustrian Lambak Kanan telah mengulangi perbuatannya terhadap mangsa, seorang pembantu am di syarikat yang sama, pada 2019, 2020 dan 2022.

    Walaupun mangsa telah memarahi defendan setiap kali melakukan kesalahan itu, defendan tetap berkeras sehingga mangsa tidak tahan lagi dengan tindakannya dan membuat laporan polis.

    Mahkamah juga melihat fakta yang memburukkan dalam kes di mana mangsa hanya mula bekerja dengan syarikat itu sejak 2019, manakala defendan bekerja di syarikat itu sejak 2011.

    Sebagai seorang senior, dia telah menyebabkan mangsa dimalukan secara berterusan selama lebih tiga tahun sehingga dia mendapat keberanian untuk melaporkan perkara itu dengan sokongan rakan sekerjanya.

    Tingkah laku defendan tidak boleh diterima sepenuhnya. Mesej yang jelas harus diberikan kepadanya dan orang lain yang berfikiran sama.

    Pihak pendakwaan juga membantu mahkamah dalam menjatuhkan hukuman, yang ditimbang oleh mahkamah dengan pengakuan bersalah defendan dan rekod yang bersih.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...