Gangguan sistem kabel bawah laut jejas rangkaian antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Perkhidmatan Internet di seluruh negara telah terjejas susulan daripada gangguan terhadap rangkaian perhubungan antarabangsa yang dimiliki oleh Syarikat Unified National Networks (UNN) melalui sistem kabel dasar laut SEA-ME-WE3 (SMW3) sejak 23 Februari lalu, gangguan sistem kabel dasar laut Asia-America Gateway (AAG) pada 2 April lalu, dan seterusnya gangguan terhadap sistem kabel dasar laut South-East Asia Japan Cable System (SJC) pada 17 April lepas.

“Gangguan ini ditambah dengan masalah yang terdapat pada sistem kabel Trans-Borneo link, yang digunakan oleh UNN untuk mempelbagaikan perolehan kapasiti,” jelas Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Menurutnya, selain Negara Brunei Darussalam, gangguan tersebut turut menjejaskan perkhidmatan Internet di negara-negara serantau termasuk Malaysia, Vietnam, Singapura, Filipina dan negara-negara di benua India.

“Bagi mengatasi isu peningkatan penggunaan Internet, khususnya dengan bertambahnya orang ramai bertugas dari rumah dan pembelajaran diadakan dalam talian, kementerian telah difahamkan bahawa pihak UNN telahpun melaksanakan pengurusan aliran trafik bagi mengurangkan impak gangguan dan meningkatkan kapasiti tambahan pada sistem kabel yang berfungsi.

“Di samping itu, UNN juga telah bekerjasama dengan penyedia kabel dasar laut bagi memulihkan rangkaian penghubungan yang sedia ada, di mana kerja-kerja pemulihan dijangka siap dalam jangka masa yang terdekat ini, Insya Allah,” jelas Yang Berhormat Dato.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui pihak AITI akan terus memantau keadaan tersebut bagi memastikan perkhidmatan Internet kepada pengguna-pengguna di negara ini tidak akan mengalami gangguan secara berterusan dan akan memaklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa.

“Dalam kesempatan ini, bagi pihak penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negara ini, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan pihak AITI ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing,” katanya.