SYDNEY, 8 NOV – Lebih 10 juta orang rakyat Australia terputus daripada perkhidmatan internet dan telefon hari ini selepas gangguan yang tidak dapat dijelaskan melanda salah sebuah syarikat komunikasi terbesar di negara itu.
Masalah misteri itu menyebabkan sistem pembayaran elektronik, talian telefon yang digunakan oleh ambulans dan polis terganggu dan menghentikan seketika kereta api semasa waktu sibuk di bandar terbesar di negara itu, Melbourne.
Optus, anak syarikat telekomunikasi Singapura Singtel, berkata beberapa perkhidmatan telah dipulihkan petang hari ini tetapi ia tidak dapat menentukan punca kerosakan itu.
“Pasukan syarikat masih berusaha untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Mereka telah menguji beberapa hipotesis dan mengambil tindakan, tetapi isu asas masih belum dapat diselesaikan sehingga kini,” kata ketua eksekutif syarikat Kelly Bayer Rosmarin kepada penyiar nasional ABC.
“Apabila syarikat telah mengenal pasti punca utama masalah dan telah merancang masa untuk pemulihan, mereka akan memberi maklumat terkini kepada semua pihak secepat yang mungkin.”
Dia berkata ‘tiada petunjuk’ gangguan itu adalah akibat penggodaman. Setahun yang lalu, lebih sembilan juta data peribadi pelanggan Optus telah dicuri dalam serangan siber.
Syarikat itu berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa, ia ‘mungkin mengambil masa beberapa jam untuk semua perkhidmatan kembali pulih’.
Sebilangan besar organisasi dan perniagaan mengesahkan hari ini bahawa isu telah diselesaikan, termasuk jabatan pendidikan persekutuan, Hospital Diraja Melbourne dan Commonwealth Bank Australia.
Optus, firma telekomunikasi kedua terbesar di Australia dengan lebih 10 juta pelanggan, mengenal pasti gangguan pada sekitar 4:05 pagi waktu tempatan. – AFP
