Ganjaran AS$2 juta untuk dua penggodam

WASHINGTON, 23 JULAI – Jabatan Negara dan Perkhidmatan Rahsia (SS) Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$2 juta untuk pihak yang membantu menangkap dua penggodam Ukraine.

Penggodam berkenaan didakwa menggodam dan menjual maklumat dalaman korporat milik Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) AS.

Dua individu yang dikehendaki itu adalah Artem Viacheslavovich Radchenko dan Oleksandr Vitalyevich Ieremenko.

Pada Januari tahun lalu, kedua-duanya didakwa di New Jersey atas tuduhan menceroboh sistem komputer SEC.

Mereka mencuri ribuan fail korporat termasuk laporan kewangan suku tahun dan tahunan yang belum diterbitkan.

Jabatan Keadilan AS mendakwa kedua-duanya menjual maklumat berkenaan sebelum ia didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun, kedua-duanya masih belum diberkas. Ini adalah kali pertama SS menawarkan ganjaran pada peringkat antarabangsa bagi menahan suspek yang dikehendaki agensi penguatkuasaan AS. – AFP