DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 4 JULAI – Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di Timur Tengah mula menawarkan ganjaran bagi maklumat yang dapat membantu memintas percubaan menyeludup senjata, dadah, dan penghantaran secara haram di seluruh wilayah di tengah-tengah kekhuatiran dengan senjata nuklear Iran dan Tehran yang mempersenjatai pemberontak Yaman, Houthi.
Armada Kelima membuat keputusan untuk menawarkan ganjaran berupa wang dan beberapa barangan lain untuk maklumat di Teluk Parsi dan beberapa perairan strategik yang berkemungkinan digunakan sebagai jalan untuk menyeludup senjata ke Houthi, ketika perjanjian gencatan senjata masih lagi berjalan di Yaman.
Sementara itu, kumpulan pemberontak Houthi mengancam persekutuan baharu yang dibuat oleh Armada Kelima di Laut Merah, walaupun tidak berlaku serangan oleh tentera yang disokong oleh Iran pada tentera laut setakat ini. Armada berkenaan berkata mereka dan sekutunya merampas barang tegahan berupa dadah yang bernilai AS$500 juta pada tahun lalu – lebih banyak berbanding rampasan yang dikumpulkan selama empat tahun.
Pihak armada tersebut juga berjaya menggagalkan penyeludupan 9,000 senjata api pada tahun yang sama, dengan jumlah sebesar tiga kali ganda berbanding pada 2020.
“Apa sahaja aktiviti jenayah menarik perhatian kami,” kata jurucakap Armada Kelima, Komander Timothy Hawkins, kepada Associated Press (AP).
“Setentunya kami pernah menyaksikan kejayaan terbesar pada tahun lalu setelah mematahkan kegiatan penyeludupan dadah terlarang dan senjata api. Ini menunjukkan kemajuan dalam usaha mempertingkatkan keselamatan maritim serantau,” katanya lagi.
Inisiatif baharu yang dilancarkan oleh Armada Kelima yang akan dilancarkan pada Selasa menerusi kerjasama Jabatan Pertahanan Bahagian Program Ganjaran, menyaksikan angkatan tentera berkenaan menawarkan ganjaran berupa wang dan barangan atas maklumat yang diberikan mengenai pertempuran yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan di mana sahaja selepas serangan Al-Qaeda yang berlaku pada 1 September 2001. – AP