Ganjaran wang besar bagi maklumat sumber COVID-19

BEIJING, 9 NOV – Sebagai usaha terbaharu ‘perang rakyat’ dalam penularan COVID-19 yang semakin meningkat di China, bandar terkesan wabak itu kini menawarkan ganjaran besar kepada sesiapa yang memberi maklumat mengenai sumber jangkitan terbaharu.

China hari ini melaporkan 43 kes baharu akibat varian Delta dan sudah pun merebak ke beberapa wilayah dan negeri, meskipun hanya mengekalkan jumlah dua angka kes baharu sejak tiga minggu lalu.

Meskipun negara-negara lain di dunia menarik balik langkah membendung koronavirus, pegawai di Beijing masih berpegang kepada strategi sifar COVID-19, berusaha mengekalkan jangkitan rendah melalui penutupan sempadan ketat, penutupan bersasar dan kuarantin lama.

Bagaimanapun, jangkitan baharu menular ke lebih 40 bandar dan pegawai di Heihe – bersempadan dengan Rusia – berkata, mereka mungkin menawarkan 100,000 yuan (AS$15,500) sebagai sagu hati bagi mereka yang boleh memberikan maklumat.

“Dalam usaha untuk mengesan sumber penularan secepat mungkin dan mencari rantaian jangkitan, adalah perlu untuk melancarkan perang dengan mengawal dan mencegah pandemik,” kata pegawai kerajaan di bandar itu dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa berkata, kes penyeludupan, pemburuan haram dan penangkapan ikan rentas sempadan juga harus dilaporkan segera, malah menjelaskan barangan import yang diberi dalam talian juga harus ‘disteril serta-merta’ dan dihantar untuk diuji.

Gelombang baharu itu mengakibatkan jutaan rakyat diletakkan di bawah perintah berkurung dan peraturan perjalanan domestik juga diperketatkan dengan banyak pesawat serta kereta api dibatalkan. – AFP

Orang ramai mengimbas kod QR sebelum ujian saringan. Bandar China terkesan pandemik, menawarkan ganjaran wang bagi maklumat sumber COVID-19. –AFP