Gantung khidmat Penerbangan KK-BSB

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – AirAsia mengesahkan penggantungan perkhidmatan penerbangan antara Kota Kinabalu (KK) dan Bandar Seri Begawan (BSB), Brunei bermula 15 Julai 2019 berikutan dengan kajian berkala yang bertujuan untuk memperbaiki lagi kecekapan rangkaian.

Pengesahan itu dibuat oleh jurucakap AirAsia berikutan dengan pertanyaan mengenai penggantungan perkhidmatan berkenaan oleh Media Permata melalui e-mel, di sini, hari ini.

Menurut jurucakap berkenaan, para pelanggan yang telah membuat tempahan dari 15 Julai adalah berhak untuk memilih satu daripada beberapa pilihan pemulihan perkhidmatan termasuk penukaran penerbangan iaitu perubahan penerbangan untuk sekali kepada tarikh perjalanan yang baharu sebelum 15 Julai tanpa sebarang kos tambahan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Mereka juga boleh memilih untuk pergi balik menerusi Kuala Lumpur (KK-Kuala Lumpur-BSB) dalam tempoh 30 hari kalendar daripada tarikh pelepasan asal di mana mereka tidak akan dikenakan yuran penukaran bagi pertukaran pertama serta tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Pilihan lain yang boleh diambil oleh para pelanggan ialah untuk menukar destinasi iaitu ke Miri (KK-Miri) dalam tempoh 30 hari kalendar daripada tarikh pelepasan asal, dengan tidak akan dikenakan yuran pertukaran bagi pertukaran pertama dan tertakluk kepada ketersediaan kerusi serta pengangkutan darat dari Miri ke Brunei tidak akan disediakan.

Mereka juga boleh membuat pilihan akaun kredit di mana mereka akan mengekalkan nilai tambang dalam akaun kredit bagi perjalanan bersama AirAsia pada masa akan datang dengan kredit berkenaan perlu ditebus dalam tempoh 90 hari kalendar daripada tarikh kredit berkenaan dikeluarkan.

Mereka juga boleh memilih untuk mendapatkan bayaran balik penuh bagi jumlah yang sama dengan pembayaran asal di mana permohonan bagi bayaran balik berkenaan boleh dibuat menerusi AVA di https://support.airasia.com/.

Bagi bayaran balik untuk tempahan yang dibuat menerusi ejen pelancongan, termasuk ejen penerbangan atas talian, ia harus dibuat menerusi ejen pelancongan di mana tempahan itu dibuat.

Jurucakap berkenaan menerangkan lanjut bahawa pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan menerusi e-mel dan mesej pesanan ringkas (SMS).

Dalam hubungan itu, AirAsia menyeru semua pelanggan untuk mengemaskinikan maklumat perhubungan mereka di https://www.airasia.com/ untuk memastikan bahawa mereka dapat dihubungi bagi bantuan lanjut.

Pada masa yang sama, para pelanggan juga boleh menghubungi pasukan Customer Happiness AirAsia menerusi aliran perhubungan yang disenaraikan di https://support.airasia.com/ untuk memberikan butiran penerbangan yang baharu seperti laluan, masa dan tarikh yang baharu serta nama-nama penumpang.