Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dijatuhi hukuman penjara setahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret kelmarin kerana mengacu-acukan senjata katana di khalayak ramai.
Muhammad Alinur Saifullah bin Junia’an mengaku bersalah terhadap dakwaan yang dikemukakan tetapi berusaha mendapatkan hukuman ringan dengan memetik keadaan keluarganya.
Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman, semasa menimbang hukuman, berkata walaupun defendan ialah pesalah kali pertama, faktor kepentingan awam perlu diambil kira memandangkan membawa sebilah pisau atau senjata serangan yang sama di khalayak ramai menimbulkan bahaya kepada orang awam.
Pendakwa Ahmad Firdaus Mohammad mendedahkan di mahkamah bahawa kejadian bermula pada jam 8 pagi pada 30 Jun apabila defendan menjawab panggilan telefon daripada isterinya yang memberitahunya bahawa dia akan pergi ke sebuah restoran untuk mendapatkan makanan di Kampung Keriam.
Berasa sangsi, defendan telah mengekorinya ke restoran dan mendapati isterinya duduk di sebuah meja bersama seorang lelaki yang juga kawan defendan.
Defendan mengeluarkan katana dari keretanya dan mengacu-acukannya di depan isteri dan kawannya.
Isteri defendan dan kawannya cuba menenangkan defendan dengan menjelaskan bahawa isterinya hanya datang berjumpa dengan kawannya untuk melangsaikan hutang.
Selepas mendengar penjelasan dan melihat pekerja restoran melarikan diri ke dapur kerana ketakutan, defendan kembali semula ke kereta untuk menyimpan katana kemudian masuk semula ke restoran.
Defendan berhasrat menenangkan pekerja yang panik tetapi ternyata terlambat kerana pekerja berkenaan telah berlari masuk ke dalam bilik. Defendan seterusnya meninggalkan restoran bersama isterinya.
Satu laporan polis dibuat oleh orang awam yang menyaksikan kejadian itu, membawa kepada penahanan defendan.
Semasa siasatan, defendan berkata dia biasanya membawa katana dalam keretanya sekiranya berlaku kecemasan kerana dia pernah digigit ular pada 2021.
Meskipun begitu, defendan mengaku perbuatannya mengacu-acukan katana di khalayak ramai adalah menyalahi undang-undang.